Nik Ahmad Ruknuddin mengaku tidak bersalah atas dakwaan menghina Sultan Mizan melalui Facebook miliknya, semalam. Nik Ahmad Ruknuddin mengaku tidak bersalah atas dakwaan menghina Sultan Mizan melalui Facebook miliknya, semalam.


KUALA TERENGGANU - Seorang pemuda mengaku tidak bersalah di mahkamah majistret di sini, semalam terhadap tuduhan melakukan penghinaan ke atas Sultan Mizan Zainal Abidin melalui Facebook miliknya, tiga tahun lalu.

Nik Ahmad Ruknuddin Rabani Nik Arif, 27, dari Kubang Kerian, Kota Bharu didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Zafirah Rosli.

Tertuduh didakwa melakukan penghinaan ke atas Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (ketika itu) dengan cara mengubah wajah Sultan Mizan.
Selain itu, tertuduh didakwa menggunakan gambar ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai gambar profil di dalam akaun Facebooknya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 13 Jun 2011, kira-kira jam 9 malam di Taman Shah Bandar, di sini.

Tertuduh berdepan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Majistret Abdul Hayyi Salim membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan pada 10 Julai depan untuk lantikan peguam.

Sebelum ini perbuatan seorang suspek dipercayai terbongkar apabila beberapa Ahli Jawatankuasa (AJK) Terengganu FC yang ketika itu sedang berada di Taman Shah Bandar, pada 13 Jun 2011, telah menerima satu komen dari Rakyat Kelantan melalui telefon pintar mengenai gambar Yang di-Pertuan Agong yang telah diedit.