Oleh Nomy Nozwir
Pejam celik pejam celik, kita sudah tiba pada bulan Ramadan, bulan pada umat Islam berpuasa. Dan selepas melalui 30 kali bulan Ramadan, saya berasa tahun ini, saya mula menyerah kalah.
Pada tahun-tahun sudah, semenjak saya diperkenalkan oleh ibu bapa saya dengan ajaran Islam dan budaya Melayu, antara budaya yang sinonim dengan masyarakat Melayu pasca Dasar Ekonomi Baru (DEB) ialah mengunjungi ke pasar Ramadan.
Ada sesetengah daripada kita lebih gemar memanggilnya "bazar Ramadan" berbanding "pasar Ramadan" kerana "bazar" bunyinya lebih Arab, bahasa yang kebanyakan daripada orang Melayu anggap bahasa paling suci, berbanding bahasa sendiri.
Sebelum itu, budaya pasar Ramadan ini mula muncul pada sekitar lewat 70an, menurut apa saya difahamkan – hasil dari keyakinan rakyat terhadap ekonomi, khususnya apabila penemuan minyak di pesisir laut China Selatan.
Walaupun pada sekitar 80an terdapat sedikit kegawatan, pada penghujungnya – merupakan tahun kegemilangan bagi kapitalisme.
Penghujung 80an hingga pertengahan tahun 90an, adalah kemuncak kegemilangannya.
Pada zaman kemuncak kapitalisme ini, pasar Ramadan yang selama ini menjual makanan Melayu – mula bertukar selera kepada makanan Barat, atau ala-Barat.
Hotel-hotel juga sudah mula menyediakan juadah berbuka puasa bufet dengan sekian sekian harga.
Melayu mula nak jadi macam orang Barat, tapi disebabkan orang Melayu orang Islam, orang Melayu wajib puasa tapi nak buka puasa kenalah ikut perkembangan sikit.
Kalau mampu belanja mata air, atau makwe, atau kekasih, atau yang terkini - bae - ke Victoria Station, anda pada masa itu dianggap seperti anak Datuk untuk berbuka puasa di restoran Barat sebegitu.
Tetapi – untuk kebanyakan rakyat marhaein – mereka tiada pilihan selain ke pasar Ramadan. Dan mereka mahu jadi orang Barat juga.
Hasilnya, wujudlah roti John – roti yang digoreng di kuali leper bersama marjerin kemudiannya dilekatkan pada telur dadar sebelum cairan telur itu mula masak.
Tetapi kini, Melayu tidak lagi mahu makan makanan Barat, mereka kini sudah ramai yang menuju ke budaya Arab.
Akibatnya, juadah Melayu seperti umbut kelapa masak lemak, tapai, petai jeruk, jering rebus, kerdas bakar dan lain-lain sudah mula dilupakan masyarakat Melayu sendiri.
Saya cukup sedih kerana selama dua tiga tahun ini, saya ke pasar Ramadan, semakin sukar saya untuk mencari masakan Melayu asli.
Seperti asam rom di Pahang, atau umbut kelapa masak lemak di Negeri Sembilan, atau gulai itik di Permatang Pauh, atau banyak lagi juadah masakan Melayu yang orang Melayu sendiri ramai tidak tahu.
Selain itu, saya kini semakin sukar untuk mencari kuih-kuih Melayu tradisional di pasar Ramadan kerana orang kini sudah mengejar juadah manis seperti durian crepe, red velvet atau kek pelangi.
Pernah sekali saya teringin kuih koci, dan saya gagal mencari hampir seluruh kawasan tempat tinggal saya, tetapi kuih-kuih generik yang entah apa-apa ini berlambak-lambak tapi ia tak disentuh orang, seperti ia bukan makanan.
Itu belum saya kata tentang agar-agar merah yang hanya letak perisa sirap yang saya sifatkan ia bukan satu masakan, sebaliknya kejuruteraan makanan yang malas.
Jadi, kepada semua peniaga pasar Ramadan yang membaca tulisan ini, saya ingin buat pengakuan – saya dah penat dengan sikap kamu yang hanya mementingkan keuntungan daripada membuat makanan yang baik.
Harga sedikit mahal, tidak ada masalah jika ia sedap. Tetapi jika orang Melayu sendiri tidak mahu menjaga masakan tradisi Melayu sendiri, dan hanya masak mengikut trend dan budaya orang lain, dan buat kuih generik untuk dijual seringgit satu keping, itu yang membosankan saya.
Bagi saya, kerja menjadi tukang masak adalah tugas yang mulia. Bahan-bahan yang bersih dan baik di samping dengan niat yang ikhlas, mampu menjadikan makanan yang dimakan itu bermakna.
Jika anda hanya mahu menjual kuih generik sebab ia senang dibuat, profit margin pun tinggi, dan ia nampak cute pada Instagram, bagi saya anda tidak perlulah sempitkan ruang orang ramai di pasar Ramadan.
Dan tolonglah, setiap kali bila anda lafazkan "Hidup Melayu", anda fikirlah sendiri, budaya dan masakan sendiri pun anda pinggirkan, apa benda yang hidupnya?
Berniagalah dengan ikhlas, kalau tak, apa gunanya berpuasa, kalau semuanya tidak ikhlas?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.