MALAYSIAKINI
Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun bertindak nekad terjun
keluar dari sebuah kenderaan yang dilarikan penjenayah dalam kejadian
di Keramat AU3, di ibunegara hari ini.
Kanak-kanak itu yang berbuat demikian ketika kenderaan jenis Mitsubishi
Triton tersebut mula bergerak, mengalami cedera ringan di pinggang,
tangan dan kaki, kata Ketua Polis Ampang Jaya ACP Khairuldin Saat kepada
Bernama.
Katanya kejadian berlaku pukul 12.30 tengah hari ketika bapa mangsa meninggalkan anaknya di dalam kenderaan tanpa mematikan enjin berhampiran sebuah bengkel.
Suspek yang berbadan kurus tinggi dan dipercayai warga tempatan berusia
dalam 30-an dilihat turun dari sebuah kereta jenis Proton Persona
berwarna kelabu sambil bercakap menerusi telefon bimbit, sebelum
melarikan kenderaan tersebut, katanya.
Katanya bapa mangsa yang menyedari kejadian cuba menghalang namun gagal menghalang suspek daripada melarikan kenderaannya.
Kanak-kanak itu ditemui bapanya kira-kira 700 meter dari lokasi kejadian, katanya.
Sementara itu, penganalis jenayah Datuk Akhbar Satar mengingatkan ibu
bapa supaya tidak bersikap sambil lewa dalam soal keselamatan anak.
"Jenayah berlaku kerana ada peluang untuk penjenayah... selagi ibu bapa
tidak peka tentang keselamatan anak mereka, kejadian seumpama ini akan
terus berlaku walaupun media sering memaparkan isu-isu sebegini,"
katanya kepada Bernama.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.