Selasa, 3 Jun 2014

16 laporan polis semasa Sukma di Perlis

MALAYSIAKINI


Sebanyak 16 laporan polis dibuat sejak Sukan Malaysia (Sukma) ke-17 bermula di negeri ini pada 24 Mei lepas, kata Timbalan Ketua Polis Perlis ACP Md Zukir Md Isa.
  
Beliau berkata daripada jumlah itu, polis telah membuka kertas siasatan bagi tujuh laporan yang membabitkan atlet dan pegawai kontinjen.
   
Satu daripadanya disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membabitkan pergaduhan dua pemain tenis dari Sabah di gelanggang tenis Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra di sini pada Khamis lepas.

Polis turut menyiasat empat kes mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan membabitkan kehilangan tiga peti TV di dewan rehat asrama Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, yang menjadi tempat penginapan para atlet, pada 22 Mei lepas.
   
Md Zukir berkata dua pelajar tingkatan tiga dan empat dari sebuah sekolah menengah di negeri ini yang terbabit kes mencuri barangan atlet pada malam perasmian Sukma 26 Mei lepas, telah ditahan dan kes berkenaan akan disebut untuk kali kedua di mahkamah di sini pada 25 Jun akan datang.
  
Dua lagi kes turut disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri di kawasan Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra di sini pada malam perasmian Sukma.
  
Sementara itu, Md Zukir menasihatkan orang ramai supaya datang awal untuk menyaksikan majlis penutupan Sukma pada malam 4 Jun ini untuk mengelak kesesakan lalulintas terutamanya di tempat meletak kenderaan.
   
Kira-kira 20,000 orang dijangka menghadiri majlis penutupan itu. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.