Khamis, 1 Mei 2014

Tolak hudud: Bukan Islam tidak sedar diri, kata Isma


OLEH HASBULLAH AWANG CHIK


Presiden Ikatan Muslimin Malaysia, Abdullah Zaik Abdul Rahman bercakap di depan hadirin di Persidangan Pemikir Islam Antarabangsa 2014 di Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 1 Mei, 2014. Presiden Ikatan Muslimin Malaysia, Abdullah Zaik Abdul Rahman bercakap di depan hadirin di Persidangan Pemikir Islam Antarabangsa 2014 di Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari. 




























Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) hari ini menyelar golongan bukan Islam yang terang-terangan menolak rancangan pelaksanaan hudud oleh PAS.

Presidennya, Abdullah Zaik Abdul Rahman, berkata golongan bukan Islam sebagai 'tidak sedar diri' dan tidak sewajarnya campur tangan dalam urusan umat Islam.

"Pendirian mereka yang begitu keras dan tidak menghormati adalah berlebihan dan tidak sedar diri dengan apa yang mereka nikmati.

"Saya tidak nampak apa jasa besar mereka sehingga mereka diberi kelebihan yang begitu banyak. Pada saya itu lebih daripada adil. Mereka perlu sedar," katanya kepada The Malaysian Insider di Persidangan Pemikir Muslim Antarabangsa di Kuala Lumpur, hari ini.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengingatkan PAS pada Selasa agar tidak masuk ke dalam perangkap Umno apabila cuba membentangkan rang undang-undang persendirian hudud di Parlimen.

Katanya, PAS perlu berfikir panjang kesannya jika mempercayai Umno selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom bersetuju untuk membantu PAS membentang hudud di Parlimen.

Lim berkata, PAS mungkin akan kehilangan Kelantan sama seperti mereka kehilangan Terengganu semasa Pilihan Raya Umum (PRU) 2004 selepas meluluskan undang-undang hudud pada 2003.

"PAS hanya menambah jurang risiko perpecahan dalam Pakatan Rakyat yang selama ini diidamkan Umno," katanya dalam satu kenyataan.

Abdullah berkata, tentangan bukan Islam itu tidak boleh dibiarkan dan mereka perlu menghormati batas yang ditetapkan dalam Perlembagaan.

Katanya, peluang perlu diberikan kepada umat Islam bagi menambah baik sistem syariah umat Islam pada masa ini.

"Saya rasa kita orang Islam tidak boleh biarkan orang bukan Islam tentukan masa depan kita. Kita kena beritahu mereka, mereka ada batas yang perlu mereka hormati.

"Cukup mereka bersyukur dengan apa yang diperoleh daripada apa yang diperlukan. Mereka kena faham untuk betulkan keadaan kita lakukan pembetulan sewajarnya untuk menjamin sistem politik kukuh akan datang," katanya.

Sementara itu, seramai 30 peserta persidangan pada hari ini akan menemui bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menyatakan pandangan mereka berhubung krisis politik di Timur Tengah.

Mengulas mengenai pandangan hudud yang dikeluarkan Dr Mahathir, Abdullah tidak menganggapnya sebagai satu bentuk tentangan tetapi berlaku salah faham.

"Saya tidak pandang Dr Mahathir menentang hudud cuma mungkin dia perlukan penjelasan. Mungkin penjelasan yang diterima tidak begitu tepat.

"Mungkin orang yang beritahu kepada dia tidak jelas dan tidak munasabah," katanya kepada The Malaysian Insider.

Abdullah berkata, hudud bukanlah menjadi keutamaan kepada kerajaan negeri Kelantan untuk melaksanakannya pada masa ini tetapi ia sebagai simbolik perpaduan di antara PAS dan Umno.

Katanya, apa yang dikhuatiri adalah pelaksanaan hudud di Kelantan akan bercanggah dengan syariat Islam yang sebenar.

"Pada pandangan kami, hudud bukan keutamaan sekarang tetapi oleh kerana Kelantan hendak buat dan Umno bersetuju maka kita pun sokong.

"Saya tidak fikir ada kemampuan untuk melaksanakan keseluruhan gambaran yang benar kepada hudud kerana terdapat batas dalam perundangan dan teknikal. Jadi mereka akan kemukakan hudud dalam konteks yang tidak sempurna umpamanya dari segi hukum tidak sampai ke tahap rejam atau bunuh," katanya.

Minggu lalu, Dr Mahathir berkata, beliau melihat umat Islam di negara ini belum bersedia melaksanakan hukum hudud.

Katanya, ini kerana pihak yang ingin melaksanakan hudud itu tidak mengutamakan soal keadilan yang ditekankan dalam Islam, sebaliknya melaksanakan hudud mengikut cara mereka sendiri.

"Hudud adalah sebahagian daripada syariat Islam dan baik, tetapi kita tidak boleh beri kuasa untuk menghukum kepada orang yang tidak faham tentang keadilan yang disebut dalam Al-Quran.

"Dalam Islam bukan hukuman berat yang diutamakan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.