Kelihatan
Khalid Ibrahim (dua, kiri) melaungkan penentangan penindasan majikan
terhadap golongan pekerja semasa program Hari Pekerja Rally Himpunan May
Day di Dataran Timur, Petaling Jaya, hari ini. - Foto Sinar Harian oleh
FATHIN ATIRAH HASLI
PETALING JAYA - Peserta Hari Pekerja Rally Himpunan May Day yang terdiri daripada pelbagai kesatuan pekerja melaungkan bantahan terhadap majikan yang menindas pekerja mereka di Dataran Timur, Petaling Jaya, hari ini.
Menurut Pengerusi Belia Kongres Kesatuan Sekerja (MTUC), Muhd Faisal Abu Bakar, himpunan kali ini dianjurkan untuk menggesa kerajaan menghapuskan pindaan akta undang-undang yang membebankan rakyat.
"Setiap tahun kami akan menganjurkan sambutan seperti ini demi membela nasib dan kehidupan pekerja selain membangkitkan isu-isu semasa yang membebankan serta menindas rakyat.
"Antara isu yang dibangkitkan kali ini ialah isu pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dilihat menekan kehidupan rakyat, komplikasi perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) dan permasalahan majikan yang sering kali melakukan penganiayaan terhadap pekerja," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.
Menyentuh tentang isu perlaksanaan sistem percukaian GST yang bakal dilaksanakan, pihaknya sudah pun mengatur pertemuan secara langsung dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini dan maklum balas yang diberikan kepada pihak MTUC amat mengecewakan.
"Perdana Menteri telah memaklumkan kepada kami bahawa sistem GST akan dilaksanakan menjelang April 2015, namun kami semua tidak akan berputus asa dan kami akan mengatur perjuangan seterusnya bagi menggesa kerajaan untuk mengurangkan bebanan kepada rakyat," katanya lagi.
Beliau dalam pada itu turut menyeru kepada semua pekerja untuk bangkit bersama-sama dan menyokong asas perjuangan yang dititikberatkan oleh MTUC terhadap kerajaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.