MALAYASIAKINI
Seorang peraih undi BN cedera di leher selepas didakwa ditumbuk dan
ditendang oleh seorang lelaki semasa berkempen di Taman Desa Aman di
Teluk Intan tengah hari semalam.
Ketua Polis Perak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata wanita itu
berusia 50-an dan merupakan ahli Parti Progresif Penduduk (PPP) dalam
laporan polisnya mendakwa telah ditendang dan ditumbuk di leher semasa
berkempen dari rumah ke rumah di taman perumahan itu bersama-sama tiga
lagi rakannya pada pukul 1.30 tengah hari semalam.
Wanita itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir
Perak, 20 minit selepas kejadian dan kes sedang disiasat, katanya kepada
pemberita selepas meninjau perjalanan pengundian awal pilihan raya
kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan di Dewan Serba Guna, Ibu Pejabat Polis
Daerah Hilir Perak hari ini.
Beliau berkata lelaki yang didakwa mencederakan wanita itu turut membuat
laporan polis semalam dengan mendakwa wanita tersebut cuba mencuri buah
mangga dan daun karinya sebelum berlaku pertengkaran antara mereka.
Menyentuh perjalanan kempen PRK itu yang memasuki hari kesembilan, Acryl
Sani berkata suasana keseluruhannya adalah terkawal dan tenang.
"Dalam mana-mana pilihan raya, tentulah ada sedikit insiden kecil-kecil
berlaku yang timbul atas dasar tidak faham dan teruja, tetapi ia tidak
melarat sehingga menyebabkan perkara buruk berlaku. Setakat ini kita
mampu mengawal keadaan," katanya.
Acryl Sani menasihatkan semua penyokong calon pilihan raya supaya
menjaga perlakuan masing-masing dan elakkan perkara yang boleh
mencetuskan provokasi termasuk membuat khianat terhadap poster kempen
calon yang bertanding serta mengeluarkan kenyataan yang boleh
menimbulkan suasana yang tidak diingini.
"Polis juga mendapati pasukan pemantau kempen pilihan raya yang
ditubuhkan Suruhanjaya Pilihan Raya menjalankan tanggungjawab mereka.
Kita jangka suasana aman dan tenang ini akan berterusan sehingga hari
pengundian Sabtu ini," katanya.
Polis juga akan memastikan keadaan lalulintas di Teluk Intan lancar
kerana menjangkakan pengundi berdaftar yang tinggal di luar kawasan akan
pulang bagi menunaikan tanggungjawab mereka pada PRK ini, selain
menyambut perayaan masyarakat Cina, katanya.
PRK kerusi Parlimen Teluk Intan menyaksikan pertandingan satu lawan satu
antara calon BN Datuk Mah Siew Keong dan calon DAP Dyana Sofya Mohd
Daud.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.