MALAYSIAKINI
Mahkamah Rayuan diberitahu bahawa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) merupakan suspek utama dalam kes kematian pembantu
politik DAP Teoh Beng Hock dan dengan itu keterangan mereka perlu
dilayani dengan berhati-hati.
Peguam Gobind Singh, mewakili keluarga Beng Hock, berhujah keterangan
saksi-saksi bebas semasa ikues di Mahkamah Koroner Shah Alam mendedahkan
pegawai-pegawai SPRM tidak
bercakap benar.
Beliau mendakwa terdapat keterangan bahawa pegawai berkenaan telah
menggunakan kekerasan terhadap Beng Hock sebelum ditemui mati pada 16
Julai 2009.
Hujahnya Mahkamah Koroner tidak sepatutnya mengggunakan standard bukti
lebih tinggi untuk mencapai keputusan terbuka dalam kes Beng Hock.
"Terdapat cukup alasan untuk Koroner mencapai keputusan bahawa kematian
adalah secara pembunuhan atau oleh orang yang hadir di pejabat SPRM,
tempat si mati ditahan semalaman," katanya di hadapan penel tiga hakim
Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.
Dua lagi anggota panel ialah Datuk Mah Weng Kwai dan Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer.
Gobind Singh berhujah Mahkamah Koroner dan Mahkamah Tinggi Shah Alam
yang mengekalkan keputusan terbuka inkues itu, gagal mengambil kira
bahawa inkues itu lebih kepada usaha mencari fakta dalam memastikan sama
ada wujud elemen jenayah dalam kematian Beng Hock.
Sementara itu, pihak pendakwa raya, diwakili Timbalan Pendakwa Raya
Nadia Hanim Tajudin dan Mohamad Abazafree Mohd Abbas, berhujah
keterangan oleh empat pakar, termasuk
pakar forensik British Prof Dr Peter Vanezis, semasa inkues itu
mendapati kecederaan dialami Beng Hock adalah konsisten dengan
kecederaan akibat jatuh.
Nadia Hanim berkata hanya pakar dipanggil oleh perayu (abang Beng Hock,
Teoh Meng Kee), pakar patologi Thailand Dr Pornthip Rojanasunand tidak
bersetuju dengan pandangan itu
dengan merumuskan bahawa 80 peratus adalah homisid (pembunuhan) dan 20
peratus bunuh diri dengan kecederaan pada leher Beng Hock mungkin akibat
jerutan.
Katanya Dr Pornthip lebih banyak bergantung kepada gambar diambil
sebelum bedah siasat pertama dan pakar patologi itu tidak pernah hadir
semasa autopsi dilakukan.
"Beliau membuat spekulasi dan tidak konsisten semasa memberikan
pandangannya, terutama tentang kecederaan di leher Beng Hock," katanya.
Beliau berkata Dr Pornthip juga tidak pernah pergi ke tempat kejadian.
Hakim Mohamad Ariff memerintahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan
bertulis mereka dalam dua minggu sebelum mahkamah menetapkan tarikh
untuk menyampaikan
penghakimannya.
Meng Kee memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Koroner pada 5
Januari 2010 yang memberikan keputusan terbuka bahawa kematian Beng Hock
bukan disebabkan bunuh
diri atau dibunuh dan juga tiada pihak ketiga terlibat dalam kematian itu.
Beng Hock, 30, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam, tempat
terletaknya ibu pejabat SPRM Selangor sebelum ini, pada pagi 16 Julai
2009.
Selepas Mahkamah Koroner memberikan keputusan terbuka itu, Meng Kee
memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi bagi keputusan itu disemak
semula. Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan
semakan itu pada 1 Disember 2011.
Meng Kee memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Rayuan pada 2 Februari 2013 untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu. Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.