MALAYSIAKINI
PAS sedia menerima kemungkinan pelaksanaan hudud di Kelantan ditolak
oleh Parlimen, jika mereka diberikan peluang untuk membentangkan rang
undang-undang persendirian tentang hukum itu di Dewan Rakyat.
Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, sebagai sebuah negara
demokrasi, PAS mahu “melalui ruang demokrasi” dalam memastikan cita-cita
melaksanakan hukum itu tercapai.
"Kita demokratik, kita mendukung demokrasi di negara kita.
"Sebab itu kita minta orang berikan ruang kepada Kelantan untuk bentangkan rang undang-undang ini.
"Mana siapa yang tidak bersetuju mereka boleh mengundi untuk menolak.
"PAS menerima apa-apa sahaja keputusan (jika) PAS sudah diberikan ruang
demokrasi," katanya pada sidang media di ibu negara, pagi ini.
PAS sebelum ini bercadang membentangkan rang undang-undang persendirian
di Parlimen bagi membolehkan hudud dilaksanakan di Kelantan.
Menariknya kali ini beberapa anggota Parlimen BN dari Umno menyatakan kesedian untuk menyokongnya.
Malah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga tidak membantah hasrat PAS itu.
Mahfuz dalam sidang medianya pagi ini turut menggesa Najib agar
memberikan ruang kepada PAS untuk muncul di televisyen bagi memberikan
penjelasan kepada orang ramai tentang hudud.
"Kalau beliau (Najib) jujur untuk beri ruang dan peluang untuk beri
penerangan kepada masyarakat, cukup untuk beliau sediakan ruang di RTM
atau media elektronik arus perdana.
"Jemput ulama PAS khususnya presiden PAS sendiri untuk beri penerangan
dan penjelasan tentang hudud atau wakil kerajaan Kelantan untuk beri
penerangan," katanya.
'Umno jangan jadi pondan'
Malah, Mahfuz pagi ini turut mencabar Najib dan Umno untuk membentangkan
rang undang-undang itu jika mereka benar-benar serius mahu melihat ia
dilaksanakan.
"Kalau dia bukan 'pondan', dia bawalah bil ini ke Parlimen.
"Dia bawa dan dia kena pastikan bil itu menang dan MP (Umno) kena hadir," katanya.
Sementara itu, Mahfuz turut menolak gesaan agar PAS keluar dari Pakatan
Rakyat sekiranya masih bertegas mahu melihat hudud dilaksanakan.
Menurutnya, MCA dan parti komponen BN yang lain juga kekal dalam
perikatan itu walaupun mereka membantah hudud tetapi sebahagian MP Umno
sudah mula menyokongnya.
Menurutnya, beliau mahu melihat Umno 'menendang keluar' MCA dari BN
terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan mengenai pendirian hudud PAS
dalam Pakatan Rakyat dibuat.
"Saya masih menunggu bila Umno hendak terajang MCA keluar dari BN," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.