MALAYSIAKINI
Kerajaan pusat hari ini mengadakan pertemuan dan perbincangan rasmi
dengan kerajaan negeri Kelantan berhubung isu pelaksanaan undang-undang
jenayah Islam (hudud) dinegeri itu.
Kerajaan diwakili oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri
Jamil Khir Baharom, manakala Kelantan diwakili Timbalan Menteri Besarnya
Datuk Nik Amar Abdullah.
Pertemuan selama lebih dua jam itu antara lain bersetuju untuk
menubuhkan sebuah jawatankuasa teknikal di peringkat pusat yang
dianggotai wakil daripada kerajaan negeri Kelantan, kerajaan persekutuan
dan PAS.
"Jawatankuasa ini untuk menghadam peruntukan (undang-undang) yang sedia,
langkah-langkah untuk melaksanakan undang-undang jenayah Islam
dilaksanakan dengan mengambil kira dari sudut kebijaksanaan dan keadilan
kepada umat Islam.
"Dan mengambil kira tuntutan perlembagaan dan masyarakat bukan Islam di
Malaysia supaya keindahan undang-undang jenayah Islam dapat dititik
permulaan yang baik, bukan jadi tohmahan," katanya dalam sidang media di
ibunegara petang ini.
Ditanya mengenai keseriusan kerajaan persekutuan untuk menyokong rang
undang-undang persendirian daripada kerajaan negeri Kelantan, Jamil
berkata:
"Saya tak tahulah kalau (perbincangan) ini tidak dilihat sebagai serius," katanya.
Ditanya mengenai sokongan MP Umno terhadap rang undang-undang itu, Jamil berkata:
"Jawatankuasa teknikal itu akan mengambil kira semua itu. Bila kita
sebut sedia bersama, inilah tanda keseriusan dan tanda untuk mengambil
langkah-langkah berikutnta seperti penerangan (mengenainya) kepada
ahli-ahli parlimen dan perkembangannya kepada masyarakat.
"Bagi masa kepada jawatankuasa ini termasuk syor-syor, nasihat dan
pandangan termasuk menyampaikan apa yang sepatutnya dan apa sebenarnya
yang dikatakan undang-undang jenayah Islam," katanya.
Jamil yang juga ahli Parlimen Jerai berkata setakat ini jawatankuasa itu
masih belum diberi nama tetapi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)
dilantik sebagai urusetia dan kerajaan negeri dan PAS pusat akan
mencadangkan anggota mereka dalam jawatankuasa itu.
"Kalau boleh kita nak orang (pakar) teknikal sendiri. Kalau masuk orang
politik, nanti buah fikiran lebih menjurus kepada soal politik
semata-mata.
"Selepas ini ia akan dibawa kepada jawatankuasa pusat yang dianggotai
oleh orang politik untuk memberi pandangan mereka," katanya.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas tindakan MCA yang mahu menghalang PAS membentang rang undang-undang itu di Parlimen.
"Tak apalah, kamu (wartawan) jangan negatif sangat. Kita dah buat jawatankuasa. Kita serius," katanya.
Sementara itu, menyifatkan perbincangan dengan kerajaan pusat sebagai
"positif" Nik Amar yang turut hadir dalam sidang media itu berkata
kehadirannya hari ini untuk menyatakan secara rasmi hasrat dan cadangan
kerajaan negeri untuk melaksanakan undang-undang jenayah itu.
"Kerajaan pusat berhasrat untuk mewujudkan jawatankuasa teknikal di
peringkat kebangsaan maka kami menyambut baik dan mudah-mudahan ia dapat
membantu pelaksanaan undang-undang jenayah syariah di Kelantan,"
katanya.
Nik Amar juga berkata pihaknya juga telah menjelaskan hasrat mereka
kepada rakan komponen Pakatan Rakyat PKR dan DAP dan parti Islam itu
berpuashati dengan penjelasan mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.