Jumaat, 30 Mei 2014

Janji jadi menteri cermin harapan BN di Teluk Intan

MALAYSIAKINI



 
 
 
ANALISIS Janji perdana menteri lewat petang semalam dari negara China untuk melantik calon BN, Datuk Mah Siew Keong sebagai menteri kabinet menghantar isyarat jelas akan harapan optimis BN untuk menang dalam kempen pilihan raya kecil Teluk Intan.

Ia dibuat beberapa jam selepas Mah pada sidang media terakhirnya menyifatkan peluang beliau untuk menang pilihan raya kali ini berada pada tahap 49 peratus.

Ia juga dibuat sewaktu DAP yang menyandang kerusi ini dengan majoriti selesa 7,313 undi daripada 60,439 pengundi, dijangka berdepan laluan sukar dalam pilihan raya kecil kedua mereka dalam bulan Mei - selepas Bukit Gelugor yang tidak ditandingi BN.

Pertama, kemungkinan peratusan keluar mengundi yang rendah menjadi cabaran kepada eksperimen DAP yang meletakkan calon wanita muda Melayu sebagai taruhan mereka.

Kegusaran sama dizahirkan oleh pemimpin DAP yang mengambil teladan daripada peratusan keluar mengundi rendah dalam pilihan raya kecil Bukit Gelugor.

Bukit Gelugor menyaksikan majoriti DAP berkurangan sebanyak kira-kira 7,000 undi berbanding pilihan raya umum 2013.

Ia mendorong parti itu untuk melancarkan inisiatif membawa pengundi berdaftar di luar Teluk Intan pulang mengundi bagi mempertahankan kerusi yang telah dimenanginya selama dua penggal berturut-turut itu.

Para pengundi setia DAP sememangnya diketahui umum terdiri daripada golongan muda serta mereka yang tinggal di kawasan bandar.

Pada masa sama, jentera BN mengharapkan agar ramai pengundi Teluk Intan yang bekerja di luar dan di bandar lain membuat keputusan untuk tidak pulang ke kampung mereka bagi mengundi.

Ini kerana keputusan demikian akan memberi kelebihan kepada calon BN yang sejak awal lagi berpesan kepada penduduk tempatan agar tidak terpengaruh dengan "sentimen luar yang dibawa oleh anak-anak mereka yang bekerja di bandar".

Kedua, sebahagian pengundi Cina yang berusia juga mungkin akan mengundi Mah berdasarkan rekod lampaunya selama dua penggal sebagai anggota Parlimen di situ serta tarikan untuk mempunyai seorang wakil rakyat berjawatan menteri.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sendiri turut mengakui tarikan itu memberi sedikit kesan di kalangan pengundi Cina yang berusia.

Menurutnya, ia hanya dapat dipatahkan sekiranya kempen balas DAP - yang mendakwa Mah tetap akan dilantik sebagai menteri selaku presiden parti komponen BN walaupun kalah - dapat disampaikan dengan baik dalam masa 24 jam akan datang.

Dalam pilihan raya umum lalu, DAP memperolehi undi memberangsangkan daripada pengundi Cina dan India.

Namun dalam pusingan terakhir kempen ini, pengundi India dilihat menjadi tumpuan utama kempen BN untuk menafikan penguasaan DAP.

Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan mengatur pelbagai program bersama komuniti itu hampir setiap hari sejak empat hari lalu sehinggalah ke hari terakhir kempen pada hari ini.

BN sedar bahawa peralihan pengundi India yang membentuk 19 peratus daripada keseluruhan pengundi, boleh merubah nasib malang parti itu dalam dua pilihan raya sebelum ini.

Keempat, keputusan BN untuk tidak bertanding di Bukit Gelugor memberikan kelebihan buat mereka dalam merampas Teluk Intan daripada DAP.

BN menerusi Umno dilihat berhabis-habisan mahu mempertahankan undi Melayu mereka apabila Naib Presiden Umno, Datuk Ahmad Zahid Hamidi yang juga merupakan MP Bagan Datoh hampir setiap hari berkempen di kawasan teras Melayu dalam DUN Cangkat Jong yang dikuasai Umno.

Ahmad Zahid dalam kempennya menekankan mesej pentingnya Teluk Intan sebagai salah satu daripada tiga kerusi Parlimen di bawah daerah Hilir Perak - selain Bagan Datoh dan Pasir Salak - untuk turut ditadbir BN demi pembangunan berterusan.

Pada masa yang sama, rakan DAP dalam Pakatan iaitu PAS juga secara terbuka mengakui parti itu yakin DAP akan dapat mempertahankan Teluk Intan jika mereka berjaya mengekalkan undi Melayu pada pilihan raya lalu.

Bagi pemerhati politik pula, sokongan kepada calon DAP, khususnya di kalangan penyokong tegar PAS, juga mungkin mencerminkan reaksi mereka terhadap isu hudud yang ditentang hebat oleh DAP.

Selain faktor-faktor ini, analisis DAP sendiri menjangkakan kemenangan yang lalu akan dipertahankan dengan majoriti yang berkurangan.

Pengarah strategi DAP, MP Serdang Ong Kian Ming mengunjurkan partinya akan mempertahankan Teluk Intan dengan kelebihan kira-kira 1,000 undi sahaja.

Buat DAP, keputusan pilihan raya Teluk Intan akan memberikan maklum balas berguna dalam merangka strategi jangka masa panjang parti itu dengan percubaan berani mereka kali ini.

Bagi BN terutamanya Gerakan pula, keputusan pilihan raya ini akan menentukan hala tuju seterusnya buat parti itu yang kini terus berjuang untuk kekal relevan selepas tahun 2008.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.