MENGIKUTI sehari suntuk kempen calon DAP yang mewakili /Pakatan Rakyat untuk pilihan raya kecil (PRK) Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud menyaksikan bagaimana beliau dalam waktu paling singkat menjadi begitu popular. Begitu ramai hendak bersalaman dan mengajaknya bergambar.
Berdasarkan situasi yang telah saya saksikan itu dan mendengar pendapat orang ramai yang ditemui, saya kira rating Dyana terus meningkat dan mempunyai potensi untuk menang.
Beberapa orang yang ditemui di Dataran Menara Condong Teluk Intan itu memberitahu saya bahawa Dyana adalah calon yang perlu diberi sokongan. Kata mereka, calon ini berpendidikan tinggi, muda, cerdas dan mampu mewakili penduduk Teluk Intan.
Calon ini disambut meriah oleh rakyat di Teluk Intan di mana-mana pun beliau pergi, baik di kawasan Cina mahupun di kawasan Melayu dan India dan semuanya hendak bersalaman dan bergambar dengannya.
Dyana mewakili generasi baru, tetapi menariknya beliau kelihatan diterima baik oleh kalangan generasi lama yang ditemuinya, malah golongan wanita berebut-rebut bersalaman dengannya dan mengajaknya bergambar.
Jadual kempennya padat tetapi calon ini tidak kelihatan letih bahkan sentiasa mengukir senyum, kadang-kadang tertawa. Selama sehari suntuk beliau dan rombongan kempen, mengadakan lawatan jauh di pedalaman Teluk Intan hingga ke sempadan negeri Selangor.
Beliau menemui pengundi di Taman Cicely, Markas Besar PAS Jalan Padang Tembak, beramah mesra dengan pengundi di Ulu Bernam, Estet Sungai Samak dan Kampung Sungai Samak dan beberapa tempat lagi.
Dalam ucapannya di pertemuan dengan pengundi, Dyana mengulangi janjinya untuk berkhidmat sebaik mungkin untuk rakyat di Teluk Intan jika dipilih nanti di mana akan mengetengahkan pelbagai masalah penduduk tempatan di situ di Dewan Rakyat.
Di samping itu akan memberi fokus kepada masalah kenaikan harga barang yang sangat membebankan rakyat. Masalah ini sangat besar dan rakyat benar-benar terbeban dengan kos hidup yang demikian tinggi.
Beliau juga akan mengulangi tuntutan mengenai caruman sosial wanita supaya dapat dilaksanakan seperti mana yang dinyatakan oleh Pakatan Rakyat di mana setiap isteri berhak dilindungi di bawah skim ini.
Dyana juga berkata, sekiranya terpilih sebagai wakil rakyat, apa yang ingin diperjuangkannya adalah meruntuhkan benteng perkauman yang sekian lama membelenggu rakyat Malaysia.
Politik baru yang ingin diketengahkannya adalah politik berlandaskan dasar yang membawa pembangunan dan kebajikan rakyat.
Beliau mewakili generasi muda untuk membawa satu politik baru buat masa depan negara. Jika dipilih beliau berjanji akan berusaha menentang rasuah, salah guna kuasa dan pembaziran kewangan negara.
Beliau juga mahu memperjuangkan tadbir urus yang baik bagi negara.
Bagi Pengarah Urusan Harakah, Dr Rosli Yaakob yang sehari suntuk mengikuti siri kempen Dyana 28 Mei lalu, calon muda Melayu DAP itu berbakat besar dan punyai potensi menjadi pemimpin politik wanita negara yang berwibawa.
Berkelulusan Sarjana Muda Undang-Undang daripada Uiniversiti Teknologi MARA (UiTM), Dyana petah berucap serta mampu menyampaikan mesej dengan terang dan jelas.
"Beliau punyai kualiti seorang pemimpin politik, ada keyakinan diri dan tidak gugup berhadapan dengan orang ramai," tambah Dr Rosli.
Dyana menegaskan bahawa penyertaannya dalam PRK Teluk Intan membawa lima mesej utama iaitu:
1. Mengajak rakyat menolak dasar ekonomi 'harga barang naik' yang boleh dilihat dengan tindakan kerajaan BN menaikkan harga minyak, gas, tarif elektrik dan yang terbaru memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bermula tahun hadapan.
Menurut Dyana, dasar ekonomi BN ini perlu diganti dengan dasar ekonomi yang lebih baik termasuk meningkatkan pendapatan rakyat.
2. Mengajak rakyat menolak politik perkauman apatah lagi para pengasas kemerdekan negara membawa dasar menyatukan kaum-kaum yang ada di negara ini untuk mencapai kemerdekaan. Sehubungan itu wujud 'perkongsian kuasa' di antara kaum di negara ini dan warisan ini akan beliau pertahankan.
3. Mengajak masyarakat menolak politik samseng yang cuba dibawa oleh sesetengah pihak khususnya sepanjang kempen PRK Teluk Intan berlangsung.
4. Mewakili suara wanita Malaysia dalam dunia politik. Kehadiran beliau diharap dapat meningkatkan lagi suara wanita di Dewan Rakyat dan arena politik negara.
5. Mewakili golongan muda, bakal pemimpin negara yang perlu digilap bakat mereka daripada sekarang. Penyertaan beliau dalam politik pada usia muda akan memberi harapan baru kepada golongan muda bagi menerajui negara di masa hadapan.
Saya melihat dengan adanya PRK , bandar Teluk Intan tiba-tiba menjadi sibuk, restoran dan gerai makan dipenuhi orang ramai hingga pekerjanya kelihatan ‘tidak cukup’ tangan untuk melayan pelanggan.
Lebih menarik lagi adalah poster gambar Dyana di mana-mana seperti turut menghiasi bandar itu. Bahkan ada yang mengambil poster gambar Dyana untuk ditampal di rumah mereka.
Pemimpin Pakatan Rakyat sangat mengharapkan seberapa ramai mungkin pengundi akan turun mengundi 31 Mei ini.
Kemenangan Dyana pada PRK Teluk Intan pasti membuka lembaran baru dalam sejarah politik negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.