Rabu, 28 Mei 2014

Cheng Guan Akan Fail Petisyen Berhubung PRK Bukit Gelugor

alt
 
RAKYATNEWS
 
 
GEORGETOWN  - Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan, akan memfailkan petisyen berhubung keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor atas dakwaan wujud salah laku DAP semasa hari pengundian kelmarin. 
 
Cheng Guan yang juga calon PRK itu mendakwa mempunyai bukti bergambar serta klip video menunjukkan ejen DAP berkumpul serta mendirikan khemah di kawasan kurang 50 meter dari sempadan pusat mengundi. 
 
"Ini bertentangan dengan peraturan pilihan raya. Sebaik sahaja keputusan pilihan raya digazet saya akan kemukakan semua bukti yang saya ada," katanya kepada pemberita di sini hari ini. 
 
Beliau turut mendakwa terdapat sebuah khemah didirikan di Kampung Kastam oleh penyokong DAP menggunakan logo Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan boleh mengelirukan orang ramai, tetapi lambang itu diturunkan setelah aduan dibuat. 
 
Cheng Guan turut mendakwa kehadiran lebih 1,000 anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) di beberapa pusat mengundi sebagai tidak perlu dan hanya bertujuan memancing undi memandangkan polis sudah menempatkan anggota yang mencukupi bagi mengawal keselamatan. 
 
Cheng Guan berkata, dua laporan telah dibuat kepada polis dan pejabat SPR semalam berhubung perkara itu. 
 
Terdahulu, Huan melawat Pasar Air Itam untuk mengucapkan terima kasih kepada mereka yang mengundi beliau dan menyampaikan penghargaan kepada media serta semua pihak yang menyokong kempennya. 
 
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Ramkarpal Sing Deo kerana berjaya mempertahankan kerusi Parlimen itu untuk DAP. 
 
Pada pilihan raya kecil itu, Ramkarpal, 38, yang juga anak ketiga mendiang Karpal Singh, menang dengan majoriti 37,659 undi. 
 
Beliau memperoleh 41,242 undi menewaskan Huan yang mendapat 3,583 undi serta dua calon Bebas iaitu Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abdul Sathar (799 undi) dan Abu Backer Sidek Mohamad Zan (225 undi).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.