Rabu, 28 Mei 2014

Bukit Jelutong: Melayu tidak lagi alergik pada DAP

DATUK DR MUJAHID YUSOF 


PAS telah melantik saya sebagai pengarah operasi pilihan raya kecil (PRK) Bukit Gelugor dalam mesyuaratnya pada awal Mei untuk menerajui jentera pilihan raya PAS.

Saya menerimanya apatah lagi sebagai Yang Dipertua PAS Bukit Gelugor dan anak tempatan Bukit Gelugor perasaan ingin berkhidmat merangsang saya untuk menerimanya.

Apalah sangat PRK Bukit Gelugor untuk PAS kerana ia hanya bertindak sebagai kumpulan sokongan sahaja kepada gerak kerja utama yang diterajui DAP Pulau Pinang.

Walaupun demikian saya meletakkan gerak kerja PAS seolah-olah PAS yang bertanding manakala Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang yang juga Timbalan Presiden PAS mengeluarkan kenyataan awal bahawa ‘calon PAS’yang bertanding dalam PRK Bukit Gelugor dan beliau hanya memakai lambang roket sahaja.

Kenyataan itu mempunyai makna yang mendalam kerana ia adalah deklarasi sokongan penuh PAS kepada calon DAP iaitu Saudara Ram Karpal Singh.

Kenyataan itu mempengaruhi gerak kerja kami dan saya menyampaikan hasrat itu beberapa kali dalam mesyuarat operasi jentera pilihan raya.

masa yang tepat

PRK Bukit Gelugor diadakan atas kematian penyandangnya Saudara Karpal Singh yang maut dalam kemalangan. Beliau memenangi dengan majoriti besar hampir 42,000 dalam pilihan raya umum yang lepas.

Entah apa hikmahnya PRK kali ini datang dalam suasana PAS dan DAP bertegang leher buat sekian kalinya tentang isu hudud yang muncul semula setelah agak lama menyepi.

Ia pada satu tahap telah meretakkan hubungan Pakatan Rakyat yang selama ini terbina atas persefahaman Common Policy Framework (CPF) yang ditandatangani pada tahun 2009 di Shah Alam.

Menyedari situasi ini pengarahan supaya jentera PAS keluar semaksima tenaga membantu calon DAP diharapkan dapat meredakan keadaan.

Begitulah jentera kami didorong untuk bekerja demi PR dan memberi gambaran yang meyakinkan bahawa isu hudud di Kelantan tidak akan menjejaskan hubungan ini.

Teluk Intan pula

Dalam kesibukan menyediakan tapak bekerja bagi Bukit Gelugor, satu lagi PRK terpaksa dijalankan atas kematian penyandang dari DAP juga iaitu di Parlimen Teluk Intan.

Di atas kepentingan strategi, kerana PAS mempunyai satu Dun di bawah Parlimen Teluk Intan yang dimenanginya pada PRU 2008 dan kemudian kalah pada PRU 2013, Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat memutuskan untuk membahagikan petugasnya dari seluruh negara antara PRK Bukit Gelugor dan Teluk Intan.

Dengan strategi itu saya sebagai pengarah operasi PRK Bukit Gelugor hanya menerima empat buah negeri untuk bertugas di Bukit Gelugor iaitu Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan.

Lagipun kerja kami lebih tertumpu kepada empat daerah mengundi yang majoritinya adalah pengundi Melayu yang terdiri daripada 11,000 pengundi.

PRK Bukit Gelugor bermula seminggu lebih awal dari Teluk Intan dan saya berbangga kerana pada malam penamaan calon Tuan Guru Datuk Seri Presiden PAS sudi hadir untuk melancarkan  pusat operasi jentera PAS di Sungai Gelugor dan keesokannya bersama pimpinan DAP yang lain mengiringi calon Ram Karpal Singh pada hari penamaan calon.

Presiden PAS kelihatan sungguh bertenaga pada pagi 12 Mei itu dan menunjukkan semangat ‘comrade in arms’ pada calon DAP.

catatan di Bukit Gelugor

Bagi saya, PRK ini penting untuk PR kerana kita boleh membuat satu kayu pengukur kepada keberkesanan dasar Kerajaan Negeri Pulau Pinang khususnya kepada pengundi Melayu.

Penting untuk PAS menilai sejauh mana strategi mendapat sokongan Melayu dalam kerangka Pakatan Rakyat kerana inilah yang menjadi batu penghalang untuk PR menguasai pengundi Melayu.

Apakah isu ‘DAP anti-Melayu’ benar-benar termakan oleh pengundi Melayu atau ianya senjata tumpul Umno?

Secara peribadi saya melihat momokan ke atas DAP tidak banyak mempengaruhi rakyat biasa kerana mengambil sampel Sungai Gelugor sebagai satu daerah mengundi yang majoritinya 80 peratus Melayu, bendera DAP boleh dilihat dipasang merata tempat malah kempen ziarah perdana yang kami lancarkan di situ mendapat sambutan dan tiada insiden memaki hamun DAP berlaku.

Keberadaan DAP dalam ceramah PAS di kawasan Melayu bukan lagi satu babak yang dilihat pelik malah pengundi Melayu keluar mendengar walaupun sesetengahnya berada di sebalik tembok yang gelap.

Kempen ceramah PAS pula terus mengasak politik perkauman yang dimainkan oleh Umno khususnya kebiadapan kelompok Pemuda Umno merempuh dan menceroboh tempat persidangan Dewan Undangan Negeri dan membuat onar di dalamnya.

Alasan bahawa Adun Seri Delima, YB Rayers mengungkapkan kata ‘Pemuda Umno celaka’dengan merujuk kepada perhimpunan di Kepala Batas tempoh hari tidak mewajarkan pencerobohan itu.

Ia melambangkan politik samseng dan tidak bertamadun. Saya menegaskan bahawa jika YB Rayers mengungkap demikian  dalam ucapannya di Dewan maka Adun Umno yang mendengarnya mesti membantah dan mematahkan hujah YB Rayers.

Apakah YB Umno terlalu lemah sehingga gagal memainkan peranan berhujah tetapi sebaliknya ‘menjemput’ para samseng untuk menceroboh Dewan?

Bergegas ke Seremban

Aktiviti saya di Bukit Gelugor terganggu seketika kerana temujanji saya yang lebih awal telah dipersetujui untuk saya menghadiri forum hudud di Seremban anjuran Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) dan gabungan persatuan Cina setempat.

Terlanjur ke Seremban, saya mengambil kesempatan untuk menziarahi Gereja Visitation di tengah bandar Seremban untuk bertemu dengan Father Gregory Chan bagi mendapat penjelasan lanjut kejadian samun yang berlaku di hadapan pintu utama gereja tempoh hari.

Kejadian itu menyebabkan dua biarawati cedera dan salah seorang daripadanya meninggal dunia setelah koma beberapa hari.

Saya telah mengeluarkan kenyataan keras sebelumnya dengan mengutuk kes samun dan ragut membabitkan biarawati warga emas di tempat ibadat.

Ia boleh sahaja berlaku ke atas mana-mana rumah ibadat lain termasuk masjid dan tokong-tokong. Kehadiran saya ke situ bagi saya menyampaikan mesej bahawa setiap rumah ibadat mesti dipelihara kesuciannya dan dihormati dan perompak dan peragut harus memahaminya.

Saya juga  menziarahi biarawati yang koma di hospital dan sempat meminta pihak Kementerian Kesihatan mengirimkan ahli neutrologi untuk mengesahkan laporan kecederaan yang dialami.

Saya berasa sedih kerana keesokannya dalam kesibukan berkempen saya dimaklumkan bahawa biarawati itu telah meninggal dunia.

Dyana Sofia

Aura apakah Dyana Sofia bawa kita tidak tahu, tetapi namanya menggegarkan politik tanah air apabila langkah berani DAP meletakkan calon gadis muda Melayu yang sempurna segala sifat Melayunya.

Beraninya langkah ini mengirimkan satu gelombang kejutan kepada parti politik berasaskan perkauman. Dyana pula seorang graduan UiTM yang dikatakan kuat doktrin kemelayuannya tetapi sedia menjadi calon DAP yang pada doktrin kemelayuan menganggap DAP sebagai parti chauvinis Cina yang pekat kecinaannya.

Bagaimana Dyana sanggup menjadi peluru maut ini?

Ia mungkin peluru maut kepada Umno, MCA dan Gerakan kerana mencabar asas kewujudan parti-parti ini manakala bagi politik baru yang diterajui oleh Pakatan, Dyana adalah mutiara yang menyinari harapan baru di mana parti politik tidak dicam melalui etniknya tetapi melalui dasar yang diperjuangkan. Siapa sahaja rakyat Malaysia yang yakin dengan dasar ini boleh menyertainya.

Saya pernah mengharapkan lebih ramai calon muda Cina dan India menjadi calon PAS di masa hadapan untuk tujuan memecah tembok perkauman tetapi saya tidak menduga DAP melakukannya dengan pantas pada PRK Teluk Intan dengan meletakkan calon Melayu.

Menang atau kalahnya DAP adalah isu kedua tetapi langkahnya mengetengahkan calon muda Melayu daripada kaum Hawa yang bernama Dyana memberikan politik Malaysia satu makna baru.

Ia bukan soal Dyana ada tarikan pada keterampilannya tetapi jauh daripada itu Dyana lambang kepada usaha memecahkan tembok perkauman dalam membina politik baru merentas kaum dan saya yakin pengundi di Teluk Intan bersedia melakukannya dengan memenangkan Dyana.

'harimau muda' berehat

Saya bersama Saudara Mohamad Sabu hadir di Dewan Sri Pinang pada malam pengisytiharan keputusan PRK Bukit Gelugor pada 25 Mei 2014 lepas.

Ram Karpal menang bergaya walaupun peratus keluar mengundi agak rendah. Kami dari PAS berada di situ untuk meraikan kememenangan ‘calon kita’ dan ingin menyampaikan mesej bahawa Pakatan Rakyat akan kekal berperanan sebagai satu wadah perubahan.

Hudud sama sekali tidak mematahkan semangat kesepakatan Pakatan Rakyat seperti mana yang ditegaskan oleh Presiden PAS bahawa Pakatan Rakyat tetap keutamaan PAS.

Inilah keunikan Pakatan Rakyat bahawa perbezaan ideologi bukan penghalang tetapi alasan untuk membentuk wajah baru politik lebih kuat tarikannya buat Pakatan Rakyat.

Sehingga artikel ini ditulis, saya masih belum berkesempatan untuk menemui mutiara terbaru Pakatan Rakyat di Teluk Intan bagi membantunya, tetapi setelah ‘harimau muda’ Bukit Gelugor berada di ‘belukar’nya seketika, bolehlah saya meninggalkannya untuk beraksi di Teluk Intan pula.

Saya dedikasi pantun ini sebagai penutup catatan saya setakat ini.

Dari Kedah sampai ke Kelantan
Usah dikau gundah gulana
Dari Bukit Gelugor ke Teluk Intan
Hamba merantau mencari Dyana.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.