MALAYSIAKINI
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) hari ini mengkritik sikap
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap kenyataan menteri dalam negeri
beberapa hari lalu sewaktu berkempen kepada anggota RELA di Teluk Intan.
Menurut BERSIH, kenyataan Datuk Seri Zahid Hamidi yang mendakwa beliau
tahu mana-mana anggota RELA yang tidak turun mengundi dan menggesa
mereka agar mengundi calon BN adalah satu kesalahan berdasarkan Akta
Kesalahan Pilihan Raya.
"Pelanggaran undang-undang secara terang benderang begini tidak boleh berterusan.
"Pihak berkuasa yang dikawal sepenuhnya oleh parti pemerintah sudah
tidak mengendahkan seruan rakyat supaya menjalankan tugas mereka.
"Yang paling teruk sekali antara mereka SPR, telah mengurangkan
peranannya kepada sekadar pemerhati sahaja, di mana jenayah seperti ini
dilakukan tanpa segan.
"SPR mempunyai tugas di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menegakkan
integriti pilihan raya tetapi seperti yang lazimnya tidak memenuhi
amanah ini," kata Naib Pengerusi BERSIH, Datuk Dr Toh Kin Woon (atas).
Beliau berkata demikian pada sidang media BERSIH di Teluk Intan, tengah hari ini.
Bekas anggota jawatankuasa pemandu BERSIH, Wong Chin Huat berkata SPR
tidak boleh berpihak kepada Zahid apabila ia melibatkan kesalahan
pilihan raya.
"SPR tak boleh selamatkan Zahid (dengan) kata (kenyataan Zahid berupa)
nasihat dan Zahid tak boleh kata ia bergurau kerana kalau dia bergurau
dengan sesuatu yang bersifat jenayah, dia perlu letak jawatan sebagai
menteri," katanya.
Anggota jawatankuasa BERSIH termasuk pengerusinya, Maria Chin Abdullah
akan membuat laporan polis berhubung kenyataan Zahid itu di IPD Hilir
Perak, petang ini.
Subsidi pengangkutan tiada masalah
Sementara itu, Maria (bawah) berkata organisasi itu tidak
bersetuju dengan pengangkutan percuma untuk mengangkut pengundi dengan
syarat mengundi calon-calon tertentu pada pilihan raya.
"Pengangkutan percuma angkut pengundi kita tak setuju.
"Kalau pengangkutan disubsidikan kita tak ada masalah, ada peruntukan untuk perkara itu dalam undang-undang," katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu mengulas perkhidmatan bas yang
disediakan DAP untuk mengangkut pengundi dari Selangor dan Kuala Lumpur
serta menghantar pengundi dari Singapura pulang ke negara itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.