Kerja menuntut pembaharuan sistem pilihanraya bukan kerja mudah. Lihat saja segala penghinaan dan ugutan yang terpaksa ditempuh Dato’ Ambiga Sreenevasan. Setelah Ambiga turun dari kerusi pengerusi BERSIH, tempatnya diisi oleh Maria Chin Abdullah. Wartawan The Rocket T.K Tan cuba menggali sedikit-sebanyak pandangan serta latar penglibatan wanita berusia 57 tahun ini dalam dunia aktivisme.
Tolong jelaskan secara ringkas latar belakang anda
Kampung halaman saya di Kampar, Perak. Saya belajar di London, tapi saya tidak pernah bekerja menurut bidang pengajian saya. Ketika di UK, saya bergiat dalam gerakan mahasiswa. Salah satu topik yang hangat dibincangkan ketika itu berkaitan dengan isu wanita. Pulang ke tanahair, saya terus terjun ke dalam bidang yang saya minati, melakukan kerja-kerja NGO untuk sebuah pertubuhan wanita.
Apakah aktivisme sosial sesuatu yang semulajadi bagi anda? Atau apakah ada peristiwa tertentu yang telah memberi kesan terhadap pandangan politik anda?
Apakah saya mewarisi aktivisme sosial daripada ibu-bapa saya? Tidak, mereka dulu penyokong MCA (ketawa)! Pada tahun 70an, beberapa orang bapa saudara saya terlibat dalam gerakan hak sivil, tetapi itu tidak begitu memberi dampak pada saya. Minat saya berkembang ketika menyertai gerakan mahasiswa sewaktu masih belajar dulu.
Pada tahun 1980an, isu keganasan terhadap wanita mula mendapat perhatian di seluruh dunia. Ketika itu, kadar jenayah rogol dan keganasan rumah tangga di Malaysia tinggi. Saya terkesan dengan suatu kes melibatkan seorang gadis sunti, Ang Mei Hong, yang telah dirogol dan (kemaluannya) dirodok dengan sebatang kayu. Kami turun ke jalan melakukan protes.
Tidak lama selepas itu, Operasi Lalang dilancarkan dan dua rakan kami telah ditangkap di bawah ISA kerana melakukan tunjuk perasaan di jalanan. Peristiwa itu memberi kesan besar terhadap saya dan banyak lagi aktivis NGO. Walaupun operasi itu bersifat politik, pihak berkuasa telah menangkap banyak aktivis NGO dan masyarakat sivil. Banyak rakan saya ditangkap. Kami telah mewujudkan sebuah kumpulan sokongan untuk keluarga tahanan dan pergi ke luar negeri untuk melobi sokongan. Kami melihat ada kaitan antara hak asasi wanita dan pembaharuan sistem pilihanraya.
Sejauh mana perjuangan arwah suami memberi dampak pada anda?
Agak besar (dampaknya). Beliau amat giat membantu perjuangan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) menentang Israel.
Beliau datang dari keluarga yang kuat beragama. Bapanya pemimpin agama di Kuala Kangsar. Yunus (Ali) juga adalah antara Melayu pertama dari sekolah agama yang meneruskan pelajaran di sekolah aliran Inggeris.
Yunus bergiat sebagai aktivis mahasiswa bersama Hishamuddin Rais pada tahun 1970an. Beliau cukup bersemangat dalam perjuangan membasmi kemiskinan dan terlibat dalam tunjuk perasaan di Baling dulu. Kami bertemu di London pada tahun 1975, tetapi hanya selepas Operasi Lalang tahun 1987 kami mula berteman dan kemudiannya kahwin.
Kami bergiat dalam kerja-kerja NGO. Kami banyak berkongsi pandangan tentang bentuk negara yang kami idamkan. Semua itu tentunya memberi kesan terhadap saya. Sewaktu BERSIH mula dibentuk, beliau sendiri sedang membentuk sebuah kumpulan pemantau pilihanraya yang lain, iaitu National Institute for Electoral Integrity (NIEI).
Malangnya, beliau tidak sempat menyertai perhimpunan BERSIH 2 kerana meninggal dunia sejurus sebelum perhimpunan itu berlangsung.
Siapa tokoh yang menjadi teladan bagi anda?
Saya kagum dengan Nelson Mandela dan Yasser Arafat. Mereka banyak berkorban untuk perjuangan mereka. Selain itu ada juga beberapa penulis Afrika dan Asia yang pernah saya baca pada zaman saya di universiti yang menjadi pendorong bagi saya. Generasi saya menyaksikan Perang Vietnam.
Setelah itu, kami menyaksikan kejatuhan rejim Marcos di Filipina pada tahun 1986 dan rejim Suharto pada tahun 1998.
Saya pernah mempunyai hubungan dengan beberapa aktivis masyarakat sivil dari Filipina. Kami mendapat dorongan daripada kerja mereka dan peristiwa yang berlaku di Filipina. Zaman itu adalah zaman perubahan politik.
Kelas menengah bangkit berkorban demi perubahan. Kami memberikan sokongan kepada gerakan di Filipina. Di zaman itu, mereka (NGO dan aktivis di Filipina) tidak yakin bahawa mereka akan dapat menjatuhkan Marcos. Ternyata ia berlaku. Seperti mereka juga, saya juga dulunya ragu perkara sedemikian boleh berlaku di Malaysia. Tidak lama kemudian, perhimpunan BERSIH berlaku.
Apakah penyertaan dalam BERSIH suatu perkembangan yang alami bagi anda?
Saya percaya, ya. Pertubuhan-pertubuhan yang saya anggotai, seperti EMPOWER dan AWAM, percaya bahawa ada kaitan antara hak asasi manusia, hak wanita dan perkara yang berlaku dalam negara. Pembaharuan sistem pilihanraya akan memberi kesan terhadap wanita. Sejak awal, wakil wanita dalam parlimen Malaysia kurang daripada 10 peratus.
Seperti banyak warga Malaysia yang lain, saya gembira dengan keputusan PRU 2008. Detik di mana BN dinafikan majoriti satu pertiga dan pembangkang memerintah lima buah negeri adalah detik penuh bermakna bagi saya. Selepas perhimpunan BERSIH 1, EMPOWER mula mengambil alih kepimpinan BERSIH.
Melihat BERSIH 1 membawa kepada keputusan seperti dalam PRU 2008, melihat perkara yang berlaku sepanjang tiga tahun lalu dengan adanya BERSIH 2 dan BERSIH 3, saya merasa lebih bersemangat untuk terus menempuh jalan ini. Harapan orang ramai cukup tinggi sekarang.
Melihat segala pencapaian BERSIH, apakah anda merasa bahawa kerja BERSIH telah selesai?
BERSIH bukan satu projek yang telah selesai. Kita perlu meneruskannya. Semangat ahli-ahli jawatankuasa BERSIH masih tinggi; tiada seorang pun pernah berkata “cukup setakat ini.” Kita perlu terus melangkah. Jika kita berhenti, bererti kita mengorbankan sesuatu. Kita seperti sedang memangku seorang bayi. Betul, bayi itu sekarang sudah semakin besar (ketawa)! Kini, kita bukan saya memberi perhatian terhadap pembaharuan pilihanraya, kita juga melihat kemunculan TURUN, perhimpunan Anak Muda dan sebagainya.
Masih banyak yang perlu dilakukan. Matlamat kita bukan sekadar pembaharuan sistem pilihanraya. Untuk melakukan perubahan sistem, masih banyak yang perlu dilakukan. Untuk mengubah sistem, kita perlu mempersoalkan cara negara ini diurus-tadbir.
Bagaimana rupa Malaysia yang lebih baik menurut wawasan anda?
Setiap satu kelompok dan setiap seorang warga harus mampu bersuara dan saling bertolak-ansur. Kita mempunyai ruang yang cukup untuk setiap orang. Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum, ini kenyataan yang tidak lagi dapat kita ubah. Selain itu, ada perbezaan antara generasi, maka kita perlu saling membuka ruang. Semua kita mahu tinggal di negara ini.
Jika kita mahu membina Malaysia yang demokratik, kita perlu terus tinggal di sini dan memperjuangkannya. Keputusan PRU 2008 dan 2013 tidak akan tercatat sedemikian jika setiap kita meninggalkan negara ini.
KALI INI KITA PERLU TURUN LEBIH RAMAI. ADA BANYAK PENUPUAN DAN PENYELEWENGAN DALAM PEMILIHAN PKR !!
BalasPadamKAH ! KAH ! KAH !