Khamis, 1 Mei 2014

Azmin dahului persaingan timbalan presiden PKR

MALAYSIAKINI



 


Pemilihan PKR setakat ini menyaksikan penyandang Timbalan Presiden PKR Azmin Ali mendahului dua lagi pencabarnya Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Datuk Saifuddin Nasution.

Berdasarkan sumber Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR, setakat ini, Azmin mendapat 5,111 undi berbanding Khalid (2,228) dan Saifuddin (2,322).

Keputusan itu bagaimanapun hanya daripada pengundian di lima negeri – Sarawak, Johor dan Terengganu, Melaka dan Pahang.

Masih banyak lagi negeri yang masih belum mengadakan pemilihan yang menggunakan sistem satu ahli satu undi itu.

Sementara itu, bagi kerusi naib presiden pula, tiga regu kumpulan Saifuddin – Nurul Izzah Anwar, Rafizi Ramli dan Tian Chua mengungguli tiga tempat teratas.

Nurul Izzah mendapat 5,610 undian, Rafizi Ramli (5,018) dan Tian Chua (4,833).

Persaingan ketua Pemuda rapat

Mereka diikuti rapat oleh tiga lagi calon yang dilihat bergabung dalam kumpulan Azmin, iaitu, Baru Bian (4,417), Shamsul Iskandar Md Akin (3,491) dan Xavier Jayakumar (3,410 undi) dan Lee Chin Cheh (2,330 undi).

Mustafa Kamil Ayub, regu Khalid dan bekas naib presiden, pula memperoleh 2,040 undi diekori Fuziah Salleh (2,004) dan Yahya Shaari (1,027).

Sementara itu, persaingan bagi kerusi Ketua Pemuda PKR pula menyaksikan persaingan sengit apabila ketiga-tiga calon bertanding mengumpul undian hampir sama banyak.

ADUN Batu Caves Amiruddin Shaari mendapat 777 undi, mendahului pesaing terdekat Timbalan Speaker Selangor Nik Nazmi Nik Ahmad (739) dan aktivis antirasuah Nazree Yunus (720).

Jawatan Ketua Wanita pula menyaksikan penyandangnya Zuraida Kamaruddin mendahului dengan 1,789 undi, diikuti exco Selangor Rodziah Ismail dengan 1,106 undi setakat ini.

Pengundian PKR bermula 25 April lalu dan akan berlangsung secara berperingkat mengikut negeri sehingga 11 Mei depan.

Seramai 496,923 dari sejumlah 500,001 ahli parti itu layak mengundi. Kesemua jawatan tertinggi parti ditandingi kecuali Presiden Datuk Seri Wan Azizah Ismail yang menang tanpa bertanding.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.