MALAYSIAKINI
Pemimpin Parti Hak Asasi Manusia dan Hindraf P Uthayakumar membuat permohonan di mahkamah untuk memulakan prosiding komital terhadap pengarah penjara Kajang dan dua pegawai lain.
Uthayakumar memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, dengan mendakwa bahawa pihak berkuasa penjara tidak mematuhi perintah Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Azman Husin supaya membenarkan peguam tahanan untuk bertemu dengannya.
Beliau menamakan pengarah penjara Kajang Abdul Wahab Abdul Kassim, inspektor Sajideh Samin dan seorang lagi inspektor yang hanya dikenali sebagai Mackenzie sebagai responden.
Dalam notis usul yang difailkan melalui firma guaman M
Manogar dan Co , Uthayakumar , yang sedang menjalani hukuman penjara dua tahun enam bulan bagi sabitan bagi kesalahan hasutan, berkata Azman juga telah mengarahkan supaya dia diletakkan di dalam sel yang berasingan bagi banduan politik.
Dalam afidavit Uthayakumar bagi menyokong permohonan itu, dia berkata semasa pendengaran di hadapan Azman, dia (Uthayakumar) telah berhujah bahawa pemimpin-pemimpin politik seperti Lim Guan Eng, Mohamad Sabu, dan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah ditempatkan di blok hospital penjara atas sebab-sebab keselamatan.
Menurutnya, ekoran permohonan peguamnya M Manoharan, mahkamah, dalam surat bertarikh 12 Disember tahun lepas, membenarkan supaya dia diasingkan daripada banduan lain, dan diletakkan di suatu tempat khas untuk bantuan politik, dan bahawa dia dibenarkan untuk bertemu dengan Prof Dr Shanmugarajah dari hospital UKM untuk mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun, menurut permohonan tersebut, perintah mahkamah itu tidak dipatuhi dan sekitar bulan Februari tahun ini, Uthayakumar telah membawa perkara itu kepada perhatian ketua inspektor untuk memaklumkan kepada pengarah penjara mengenai perkara tersebut.
Bagaimanapun, menurut permohonan itu lagi, pengarah penjara tidak mematuhi arahan itu.
Berikutan itu, firma guaman Manoharan telah mengeluarkan surat bertarikh 4 Mac tahun ini untuk memaklumkan kepada hakim bahawa syarat-syarat tersebut tidak dipatuhi, demikian menurut permohonan itu lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.