Isnin, 28 April 2014
Umno tak bersungguh halangan utama hudud
Ketuanya, Datuk Hassan Mohamood berkata, pihaknya bersedia duduk bersama dalam jawatankuasa seperti dicadangkan kerajaan pusat bagi memastikan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II dapat dilaksanakan di Kelantan.
“Kita sokong apa sahaja usaha yang dilakukan bagi melicinkan lagi ke arah pelaksanaan perundangan terbabit di negeri ini.
“Lagi pun kerajaan negeri telah mewujudkan jawatankuasa teknikal pelaksanaan dan jawatankuasa teknikal pra pelaksanaan yang turut membabitkan semua pihak,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat bersama wakil-wakil NGO Kelantan di JKR 10 di sini hari ini.
Semalam Timbalan Perdana Menteri mencadangkan Jawatankuasa Teknikal Khas membabitkan wakil kerajaan Persekutuan dan kerajaan Kelantan diwujudkan di peringkat kebangsaan bagi membolehkan undang-undang Islam itu dibincangkan secara terperinci.
Menurut Muhyiddin perbincangan yang dibuat sistematik dan hudud dapat dikaji lebih teliti bagi melihat situasi sebenar sebelum usul mengenainya dibawa ke Parlimen.
Hassan juga berkata, halangan utama ke arah pelaksanaan hudud kerana sikap pemimpin itu sendiri yang tidak memperlihatkan kesungguhan sebelum ini.
“Kalau betul-betul pemimpin kerajaan di peringkat pusat mahu memastikan perundangan syariah dapat dilaksanakan, kerajaan sendiri boleh membawa usul di parlimen.
“Kalau kerajaan sendiri membawa rang undang-undang tersebut peluang untuk dilulus lebih besar berbanding usul yang dibawa secara persendirian,” ujarnya.
Hassan yang juga Adun Tawang berkata, isu hudud tidak akan merenggang hubungan dalam Pakatan Rakyat biar pun kelihatan banyak kenyataan bersifat negetif sebelum ini.
Malah kata beliau hudud diharap dapat memperkukuhkan lagi hubungan dalam Pakatan apabila semua pihak memahami manfaat perundangan tersebut.
Menurutnya kenyataan negetif dikeluarkan pemimpin bukan Islam tidak menjadi masalah kerana mereka belum mendapat maklumat sepenuhnya lagi.
Sementara itu pada malam 30 April ini Dewan Ulamak PAS Kelantan bersama NGO akan menganjurkan program solat hajat dan penerangan mengenai hudud bertempat di Dataran Stadium Sultan Muhammad Ke IV.
Kata Hassan pada program itu wakil-wakil NGO termasuk bukan Islam akan melafazkan ikrar mendokong pelaksanaan perundangan syariah di Kelantan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.