Ke hadapan Presiden Barack Obama,
Selamat datang ke negara saya, tanahair saya, Malaysia yang indah.
Kami rakyat Malaysia sangat berbangga bahawa tuan, sebagai
Presiden kulit hitam pertama Amerika Syarikat (AS), menjadi presiden AS
yang pertama pula memutuskan untuk melawat negara kami yang tidak
seberapa ini dalam tempoh 48 tahun lalu.
Meski pun tuan berbangsa Amerika, rakyat Malaysia telah
turut sama dengan masyarakat seluruh dunia merayakan kejayaan tuan
memenangi pilihanraya presiden yang bersejarah pada tahun 2008.
Mengambil kata-kata pendahulu tuan, Presiden George W Bush, perjalanan
tuan “melambangkan satu kemenangan dalam kisah perjuangan Amerika”.
Saya secara peribadi terkesan dan terdorong dengan ucapan
kemenangan tuan di Chicago, “Jika ada di luar sana yang masih meragui
bahawa Amerika adalah tempat di mana segalanya mungkin; yang masih
tertanya-tanya adakah impian pengasas kita masih menyala pada zaman ini;
yang masih mempersoalkan kuasa demokrasi, malam ini adalah
jawapannya…pada detik penentuan ini, perubahan sudah berlaku di
Amerika.”
Bererti, tuan tentunya ingat dan menghargai perjuangan kaum
Afro-Amerika dalam sejarah AS demi kebebasan, keadilan dan
kesamarataan. Artikel 1, Seksyen 2 perlembagaan pertama AS tahun 1787
menyatakan golongan kulit hitam sebagai “tiga per lima insan” (bukan
insan sempurna). Dalam kes penting Dred Scott melawan Sandford (1857),
Mahkamah Agung AS telah memutuskan bahawa golongan kulit hitam, merdeka
atau hamba, tidak boleh menjadi warganegara.
Sehingga selepas Perang Saudara dan pemansuhan perhambaan
oleh Pindaan ke 13 dan 15 Perlembagaan Amerika Syarikat (1865) sekali
pun, golongan pelampau kulit putih telah menggagalkan tujuan perubahan
itu dengan menggunakan pelbagai strategi untuk meminggirkan warga kulit
hitam. Penggagalan Perlembagaan AS malah disokong secara langsung mahu
pun tidak langsung oleh Presiden dan ahli Kongres era itu, dengan
menguatkuasakan pemisahan dan diskriminasi.
Hanya melalui usaha politik berterusan oleh gerakan hak
sivil Afro-Amerika pada tahun 1950-an dan 60-an, yang mencapai
kemuncaknya dalam Akta Hak Sivil 1964 dengan pengharaman diskriminasi
berasaskan kaum, warna kulit, agama, jantina dan tempat asal, barulah
dapat dihapuskan syarat pendaftaran pengundi yang tidak adil dan
pemisahan kaum di sekolah, tempat kerja dan kemudahan awam.
Empat dekad kemudian, dunia menyaksikan pelantikan Presiden
kulit hitam pertama AS. Kami dirangsang oleh kejayaan tuan dan kami
merayakannya kerana di Malaysia, kami berhadapan dengan cabaran yang
sama, dan kami masih bergelut untuk mengatasinya.
Kaum minoriti di negara ini didiskriminasi secara meluas
dalam aspek politik, sosial dan ekonomi. Tiada seorang pun warga
Malaysia mampu membayangkan kemungkinan bahawa seorang bukan-Melayu akan
menjadi Perdana Menteri di negara ini. Isu kaum dan agama diperalatkan
secara terang-terangan untuk mengukuhkan kuasa elit pemerintah.
Kebebasan sivil dikekang melalui pelbagai undang-undang
kuku besi, dibantu oleh badan eksekutif, perundangan dan kehakiman.
Mendiang Karpal Singh, bekas Pengerusi parti saya, disabitkan atas
kesalahan menghasut, hanya kerana beliau cuba menegakkan Perlembagaan
Persekutuan. Malah kerajaan mahu memenjarakan beliau atas ‘kesalahan’
itu, walau pun beliau lumpuh separuh badan.
Ketua Pembangkang Datuk Seri
Anwar Ibrahim ditindas secara politik dan dengan tidak adil, serta
pernah dipenjarakan sebelum ini, pada tahun 1998. Malah saya sendiri
mungkin bakal hilang kelayakan selaku Ahli Parlimen dan dipenjara
sehingga dua tahun jika didapati bersalah terbabit dalam “perhimpunan
haram” sewaktu menyertai himpunan nyalaan lilin (candlelight vigil) yang
aman.
Selain itu, kebebasan beragama dalam negara ini semakin
hari semakin ditekan, dengan ekstremisme agama yang semakin menonjol.
Malaysia adalah satu-satunya negara yang memutuskan kalimah ‘Allah’
sebagai hak eksklusif Muslim – pendirian yang disokong secara terbuka
oleh Perdana Menteri kami, Datuk Seri Najib Razak. Bible berbahasa
Melayu dirampas. Pihak Gereja kini didakwa di mahkamah, sementara
pemimpin agama disiasat menurut akta hasutan.
Tuan Presiden, saya yakin, pegawai-pegawai diplomatik tuan
tentunya telah memberi penerangan berhubung amalan korupsi yang
berleluasa, serta salah guna kuasa oleh kerajaan kami untuk mengkayakan
golongan elit berpengaruh dan kroni mereka.
53 peratus rakyat Malaysia telah mengundi untuk menukar
kerajaan pada pilihanraya umum setahun lalu. Malangnya, disebabkan helah
persempadanan pilihanraya (gerrymandering) yang meluas, manipulasi
media dan juga amalan pilihanraya yang korup, cita-cita perubahan yang
diimpikan rakyat biasa tidak tercapai.
Maka menjadi harapan kami bahawa tuan tidak cuma melawat
negara ini semata-mata untuk mengukuhkan “perhubungan perdagangan”,
suatu ungkapan berdiplomasi sebagai ganti bagi “keuntungan maksima” dan
“keselamatan wilayah”.
Rakyat Malaysia berharap agar lawatan tuan ke negara ini
boleh menjadi cahaya pemberi harapan dalam saat-saat sukar kini. Kami
berharap tuan akan dapat berkongsi perjalanan peribadi tuan dan
perjuangan para pemimpin agung Amerika melawan perkauman dan
diskriminasi yang suatu masa lalu terlembaga di negara tuan, sehingga
memungkinkan tuan untuk dipilih sebagai Presiden Amerika Syarikat
– pemimpin dunia bebas.
Rakyat Malaysia juga mengimpikan tibanya hari di mana
diskriminasi, peminggiran dan pemisahan mengikut kaum, agama, warna
kulit, dan jantina menjadi peristiwa silam, supaya seluruh rakyat
Malaysia diberikan layanan dan peluang yang sama rata.
Tuan Presiden, dengan penuh hormat, kami tidak mengharapkan
tuan untuk datang ke sini bagi memberitahu kami bahawa negara ini
adalah contoh cemerlang bagi kesederhanaan, kerana perkara itu tidak
benar; atau untuk tuan memuji kerajaan kami bahawa ia adalah model
masyarakat majmuk yang hidup aman dan harmoni, kerana ia topeng
semata-mata.
Kami perlukan tuan, Tuan Presiden, untuk bercakap tentang
nilai kemanusiaan yang sejagat, tentang prinsip-prinsip yang leluhur
tuan tegakkan dengan darah dan keringat mereka. Kami ingin tuan bercakap
tentang kepentingan hak asasi manusia, kesamarataan, kebebasan dan
prinsip-prinsip asas demokrasi. Kami ingin tahu bahawa Presiden Amerika
Syarikat masih lagi yakin dengan usaha mempertahankan dan mengembangkan
kebebasan sivil di seluruh dunia – kebebasan yang memungkinkan tuan
sendiri untuk berdiri di tempat tuan hari ini.
Kami berharap, Tuan Presiden, tuan akan meneruskan legasi
salah seorang aktivis hak asasi paling disanjungi, Dr Martin Luther
King, yang percaya kepada penentangan awam (civil disobedience) tanpa
kekerasan. Tuan sendiri telah menonjolkan pencapaian beliau dalam ucapan
ulangtahun ke-50 pidato ulung Dr King, November tahun lalu. Tuan
menyebut ketika itu,
“Kita meyakini kebenaran ini sebagai hakikat, bahawa
setiap insan diciptakan sama rata, bahawa mereka dianugerahkan oleh
pencipta hak-hak yang tidak ternafikan, antaranya adalah hak untuk
hidup, hak kebebasan dan hak untuk mengejar kebahagian.
…Kita secara wajar mengenang sebaik-baiknya pidato
mengangkasa Dr. King hari itu, bagaimana gemuruh suara beliau memberikan
harapan kepada jutaan manusia yang diam-diam berharap, bagaimana beliau
telah menawarkan jalan penebusan kepada yang tertindas, juga kepada
yang menindas. Kata-katanya merentasi zaman, memiliki kuasa dan daya
ramalan tak tertanding pada zaman kita.
…Dan kerana mereka tetap mara, Amerika berubah. Kerana
mereka mara, undang-undang hak sivil diluluskan. Kerana mereka mara,
undang-undang hak mengundi ditandatangani. Kerana mereka mara,
pintu-pintu peluang dan pendidikan terbuka agar anak-anak akhirnya dapat
membayangkan kehidupan yang lain, melampaui kehidupan sebagai pembasuh
baju dan pengilat kasut orang.
Kerana mereka mara, anggota pihak
berkuasa bandar, badan perundangan negeri, Kongres, dan, ya, akhirnya
Rumah Putih bertukar. Kerana mereka mara, Amerika menjadi lebih bebas
dan saksama…”
Kami rakyat Malaysia mengharapkan tuan akan berkongsi
impian tuan dengan rakyat Malaysia dan seluruh warga dunia, seperti Dr
King berkongsi impiannya dengan rakyat Amerika, dalam “pidato
mengangkasa” itu, di mana beliau mengatakan;
“Saya ada impian, bahawa suatu hari nanti negara ini
akan bangkit dan melaksanakan makna sebenar kata-kata yang menjadi
pegangannya: ‘Kita meyakini kebenaran ini sebagai hakikat yang nyata:
bahawa setiap insan diciptakan sama rata.’
Saya ada impian, bahawa suatu hari nanti di atas bukit
merah Georgia, anak-anak bekas hamba dan anak-anak bekas pemilik hamba
akan dapat duduk bersama di meja persaudaraan.
Saya ada impian, bahawa empat anak kecil saya suatu
hari nanti hidup dalam sebuah negara yang tidak menilai mereka
berdasarkan warna kulit, tetapi berdasarkan inti watak mereka.
Hari ini, saya ada impian.”
Tuan Presiden, rakyat Malaysia juga ada impian, dan kami berharap, dari lubuk hati kami, tuan akan berkongsi impian kami.
Terima kasih, Tuan Presiden. Kami berharap tuan akan
menikmati layanan daripada kami rakyat Malaysia yang diakui sebagai
pemberi layanan yang baik.
Yang benar,
Tony Pua
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara
Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP
- Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.