Selasa, 29 April 2014

MP: K'jaan yang patut bentang RUU hudud

MALAYSIAKINI


 


Anggota jawatankuasa PAS pusat Khalid Samad berkata, usul untuk membentangkan mendapatkan sokongan Parlimen ke atas pelaksanaan hudud di Kelantan seharusnya akan lebih mudah diterima jika dikemukakan sendiri oleh kerajaan.

Laporan Harakahdaily menyebut, beliau berkata kerajaan seharusnya dilihat bersungguh-sungguh dalam mendahului dengan mengemukakan usul tersebut, dan bukan hanya menyokong dari belakang.

“Bagaimanapun, lebih mudah lagi apabila usul tersebut dibawa wakil kerajaan, Mengapa mereka hanya menyokong dari belakang dan tidak membawa sendiri usul tersebut kalau benar-benar serius.

“Sekiranya kerajaan yang membaWa usul tersebut peluang untuk diterima dan dibahas lebih terbuka berbanding dibawa secara persendirian wakil pembangkang,” katanya seperti dipetik dalam laporan lidah parti PAS itu.

Kenyataannya itu bagi menjawab kesediaan beberapa MP Umno – Datuk Seri Jamil Khir Baharom (Jerai), Tan Sri Annuar Musa (Ketereh) dan Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang) untuk menyokong usul tersebut.

Ia juga lanjutan dari kenyataan di blognya, pertengahan bulan ini, yang mendakwa Umno cuba mengasak PAS untuk membawa usul tersebut supaya parti Islam itu berseteru dengan DAP – yang tegas dengan pendirian menentang pelaksanaan hudud.

“Sebenarnya mereka tidak serius dan mereka tahu yang serius dan bersungguh-sungguh berhubung sistem perundangan Islam hanyalah PAS.

“Mereka minta PAS bawa usul berkenaan dengan tujuan dan harapan supaya PAS akan bergaduh dengan DAP. Pendirian DAP berhubung hudud sudah diketahui umum.

“Dengan diacah dan dicucuk oleh MCA, seperti yang dilakukan sekarang, adalah diharap DAP pula akan melatah dan bertembung dengan PAS.

“Pertembungan ini diharapkan akan semakin meruncing sehingga akhirnya Pakatan Rakyat itu sendiri akan berpecah,” katanya dalam tulisan 17 April.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.