Oleh: Azuan Ab Rahman
KUALA LUMPUR: Selama hampir 30 tahun rakyat diyakinkan bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad berada di luar negara semasa peristiwa berdarah Memali berlaku, kata Senator Syed Husin Ali.
Ekoran itu, katanya, pendedahan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam bahawa Mahathir berada di Kuala Lumpur pada waktu itu perlu disiasat.
“Selama 30 tahun rakyat telah diyakinkan oleh media bahawa Mahathir tiada di dalam negara (sewaktu kejadian).
“Sebab itu pendedahan Musa hitam ini perlu diambil perhatian serius dan siasatan perlu dilakukan. Keadilan buat penduduk kampung yang terkorban dan keluarga perlu dikembalikan,” jelasnya lagi.
Musa Hitam, dalam sebuah forum di Kota Bharu baru-baru ini mendedahkan Mahathir berada di dalam negara ketika kejadian itu berlaku.
Ia sekaligus menolak gambaran kononnya Mahathir berada di China sewaktu kejadian yang meragut nyawa 14 penduduk kampung itu.
Menyifatkan pembunuhan kejam beberapa penduduk kampung dalam ‘operasi Hapus’ yang dilakukan pihak berkuasa pada November 1985 itu sebagai tragedi memilukan, Syed Husin mahu peristiwa itu terus dikenang oleh rakyat.
“Jangan sesekali kita lupa pada apa yang berlaku kerana ia satu tindakan paling kejam yang telah dilakukan terhadap rakyat,” ujar tokoh politik veteran itu lagi.
Syed Husin dalam masa sama turut menyelar respon Mahathir yang mendakwa ‘tidak ingat’ di mana dia berada semasa berlakunya tragedi berdarah itu.
Beliau menyifatkan alasan itu sebagai cubaan Mahathir untuk melarikan diri daripada menjawab dakwaan berkenaan dan menegaskan adalah sangat mustahil untuk bekas presiden Umno itu lupa di mana dia berada ketika kejadian.
“Mahathir ini sering tidak mahu dipersalahkan, alasan yang diberikan tidak masuk akal. Tidak mungkin kita lupa di mana kita berada ketika berhadapan situasi besar dan penting, tidak semudah itu manusia boleh lupa.
“Sikap Mahathir yang suka mengelak dan tidak mahu bertanggungjawab ini akhirnya memangsakan orang lain,”
“Selama 30 tahun Musa Hitam telah dipersalahkan atas tragedi Mamali, sebab itu kita mahu siasatan dijalankan supaya pembohongan selama 30 tahun ini dapat diperbetulkan kembali,” tegas aktivis rakyat itu lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.