Rabu, 30 April 2014

Hudud: Lebih baik MCA berhenti berdrama, katakan ‘tidak’ kepada kerajaan


lks (1)



KUALA LUMPUR: DAP hari ini menyarankan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai supaya berhenti dari terus bercakap kosong mengenai hudud jika parti itu tidak berani mengeluarkan kata dua kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, Tiong Lai dan MCA sepatutnya memutuskan untuk keluar dari BN selagi tidak ada sebarang jaminan bahawa Perlembagaan sekular negara tanpa tetap dihormati.

“Amat sia-sia untuk Tiong Lai melakukan jelajah di seluruh negara, menemui ribuan ‘pemimpin akar umbi MCA, pemimpin persatuan dan peniaga Cina’ dan menggertak untuk menggerakkan ribuan pemuda partinya di jalanan, termasuk sekitar Parlimen apabila sidang dimulakan Jun nanti, demi menghalang usul hudud jika beliau sendiri tidak berani mengatakan ‘tidak’ kepada kerajaan.

“Adakah Najib meminta pendapat Tiong Lai terlebih dulu berhubung perubahan dasar serta pengumuman bahawa BN tidak pernah menolak hudud yang bukan saja melanggar prinsip asas dan ciri-ciri Perlembaan sekular 1957 tetapi bertentangan dengan perjuangan pengasas negara dalam UMNO, MCA dan MIC.

“Atau Tiong Lai telah diberitahu secara peribadi mengenai penerimaan BN terhadap hudud?” soal Kit Siang.

Bagi Ahli Parlimen Gelang Patah itu, rakyat berhak tahu sama ada pandangan pandangan Presiden MCA itu pernah diminta sebelum Najib membuat pengumuman dan sama ada beliau atau partinya telah menyatakan persetujuan terhadap pengumuman itu.

“Jika seorang yang bergelar Presiden MCA tidak menjelaskan apakah ada sebarang rundingan dibuat, sama ada beliau sendiri telah bersetuju atas sifat peribadi atau ketua parti. Saya kira beliau harus menghentikan ‘drama’ ancaman itu.

“Apa kredibiliti Tiong Lai membuat ancaman itu sedangkan beliau sendiri tidak berani untuk berkata ‘tidak’ kepada Najib dan mengisytiharkan bahawa MCA tidak setuju dengan pengumuman Perdana Menteri itu, selain mengisytiharkan bahawa MCA tidak akan kembali memegang jawatan dalam kerajaan BN sehinggalah BN kembali kepada prinsip asas dan ciri-ciri Perlembagaan sekular 1957,” ujarnya.

24 April lalu, ketika berucap di sebuah majlis di Alor Star, Najib menekankan bahawa kerajaan tidak pernah menolak hudud dan menyokong usaha sesiapa saja yang mahu ia dilaksanakan di Malaysia.

Kenyataan Najib kemudiaan disambut dengan nada berbeza daripada sekutunya MCA yang mendakwa mereka akan menentang pelaksanaan hudud habis-habisan. -Roketkini.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.