[Dikemaskini] SETELAH 21 tahun diluluskan di Dewan Undangan Negeri iaitu pada tahun 1993, hukum hudud kini dilihat boleh jadi kenyataan apabila kerajaan BN mula memberikan laluan kepada Kelantan untuk membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian di Parlimen.
Namun pelbagai rintangan perlu dilalui Pas termasuk tentangan secara terbuka oleh parti komponen PR sendiri iaitu PKR dan DAP.
Bagi mendapatkan penjelasan lebih mendalam ikuti temu bual eksklusif Ketua Wartawan Kelantan, Mohd Zailani Abd Rahman dan wartawan, Murni Abdul Rashid bersama TIMBALAN MENTERI BESAR, DATUK MOHD AMAR ABDULLAH.
Sinar Harian: Melihat kepada perkembangan hudud sekarang, bila tarikh muktamad akan dibawa ke Parlimen?
Mohd Amar: Paling lewat kita akan hantar akhir tahun ini lagipun draf rang undang-undang persendirian kita sudah ada dan tiada masalah jika nak bentang Jun depan.
Cuma kita hendak selesaikan taklimat kepada parti, pegawai, kakitangan kerajaan, parti komponen PR, Persatuan Cina, jika ada wakil rakyat BN mahu dengar taklimat tersebut kita bersedia beri kerjasama. Insya-ALLAH paling lewat, bila sesi belanjawan akhir tahun Oktober depan.
Sinar Harian: Bagaimana pula dengan sokongan yang diperlukan untuk realisasikan hudud?
Mohd Amar: Kita bukan mahu bentuk Perlembagaan, kita ada dua pilihan sama ada mahu bawa rang udang-undang ini ke peringkat negara atau negeri tetapi kita setuju untuk peringkat negeri sahaja jadi tidak perlu pinda Perlembagaan.
Kita mahu memohon kebenaran daripada Parlimen dan Kerajaan Persekutuan untuk menjalankan hukuman dalam kesalahan-kesalahan yang ada dalam Kanun Keseksaan iaitu mencuri, merogol dan merompak.
Ia adalah bidang tugas Kerajaan Persekutuan agar kesalahan-kesalahan boleh dibicarakan dalam mahkamah syariah dan hukuman yang dijatuhkan tidak terikat kepada kanun keseksaan.
Parlimen perlu meluluskannya tetapi tidak perlu kepada dua pertiga tetapi hanya majoriti mudah iaitu 112 sudah mencukupi, Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) mahu kemudahan cadangan meminda akta mahkamah syariah 1965 yang dikenali sebagai Akta 356 bagi membenarkan Kelantan menjatuhkan hukuman lebih tinggi dari peruntukkan akta tersebut iaitu denda RM3,000, penjara 5 tahun dan 6 sebatan.
Kita mahu hukuman lebih besar dan tidak terikat.
Sinar Harian: Bagaimana pula dengan sokongan di Parlimen?
Mohd Amar: Jika semua wakil rakyat di parlimen yang beragama Islam menyokong pun sudah cukup sebab apa yang kita buat ini bukan isu politik tetapi menyentuh akidah dan agama. Kita tidak nampak bagi orang Islam untuk menghalang dan apa masalahnya kepada orang bukan Islam untuk mereka tolak ini kerana hudud bukan untuk mereka tetapi untuk orang Islam di negeri ini sahaja.
Sinar Harian: Bagaimana pula dengan pendirian PKR dan DAP yang dilihat menolak hudud?
Mohd Amar: Kita belum bincang apa-apa lagi, dia (PKR, DAP) nak cakap..cakaplah..lagi pun kenyataan tersebut dikeluarkan sebelum kita bincang apa-apa lagi. Paling penting kita nak jumpa Pas pusat dan mereka sudah pun bersetuju, itu sudah cukup selepas ini kita akan bagi penerangan tentang perancangan, pendekatan dan apa susulan tindakan yang akan dibuat selepas ini.
Sinar Harian:Tidakkah Pas bimbang hudud bakal cetus pertelagahan besar dan akhirnya membawa kepada perpecahan dalam PR?
Mohd Amar: Kita dah jumpa pimpinan PR sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini, kita jumpa dan bahas. Pada asasnya, Pas bersetuju untuk tidak bersetuju, maknanya pendirian Pas akan laksanakan dan DAP tidak bersetuju itu pendirian mereka dan kita tidak boleh halang. Hudud diluluskan tahun 1993 di Dewan Negeri sebelum wujudnya PR, lagipun kita hanya hendak laksanakan di negeri ini. Kita tidak bincangkan untuk buat hudud peringkat negara sebab asasnya kerana kita belum memerintah lagi.
Dalam konteks ini, kita sudah memerintah Kelantan sudah 23 tahun dan hudud sudah diluluskan 21 tahun lalu. Ia bukan isu terlalu cepat atau tidak, dan 95 peratus rakyat negeri ini beragama Islam. Kalau mahu bercakap soal demokrasi kita kena hormati hasrat kerajaan negeri sebab kita menang dengan cara demokrasi.
Orang sokong kita sebab mahu lihat undang-undang Islam dilaksanakan sekurang-kurangnya di negeri ini. Mereka kena hormat kehendak dan hasrat pengundi di negeri ini, bukan demokrasi jika nafikan hak rakyat.
Malah, PR tidak akan berpecah jika PKR dan DAP bijak mengambil pendirian, jika sebaliknya berlaku ia akan membawa kepada keretakan hubungan, kita harap mereka (PKR dan DAP) bertindak bijaksana, sebagai sebuah parti kita tidak tahu respons mereka dan kita akan meminta pimpinan Pas pusat bawa perkara ini kepada pimpinan PKR.
Sinar Harian: Bagaimana pula perbincangan dengan pemimpin Umno tentang hudud?
Mohd Amar: Kita tidak bincang apa-apa dan tidak nampak keperluan untuk tujuan itu sehingga kini.
Sinar Harian: Mengenai sokongan Umno mengenai isu ini, tidakkah itu satu perangkap atau mempunyai ‘silent’ agenda?
Mohd Amar: Dalam politik tidak ada perkara yang tiada agenda, kita tahu kemungkinan ini satu perangkap, tetapi kita akan masuk dengan berhati-hati sebab selama ni Umno tidak mahu hudud dan menghalang, jadi sekarang dia sudah beri kerjasama dan kita ambil peluang tersebut.
Sinar Harian: Berapa jumlah wakil rakyat bukan Islam perlu menyokong untuk mencapai majoriti mudah?
Mohd Amar: Secara peribadi saya yakin ramai wakil rakyat bukan Islam akan menyokong kecuali jika ditentang oleh parti mereka, undi boleh dibuat dengan pelbagai cara sama ada kira satu persatu, angkat tangan, undi sulit semua itu kita serah kepada speaker.
Kita mengharapkan wakil rakyat Islam menyokong usul ini sebab ia bukanlah isu politik, kita pergi dengan tanggungjawab agama dan sabar menunggu selama 20 tahun, harap hormati pendirian demi kesedaran agama sebab kita pergi mengikut kaedah Perlembagaan.
Sinar Harian: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini ada mengkritik Kerajaan Brunei dalam perlaksanaan hudud, tidakkah ia satu kebimbangan jika ia berlaku di Malaysia khususnya Kelantan?
Mohd Amar: Orang nak kritik kita tidak boleh sekat dan halang itu hak dunia yang berdemokrasi apa yang penting jangan halang kita, seperti Brunei, kerajaan mereka sudah buat keputusan, benda ini kena jelas.
Sinar Harian: Selepas hudud dapat kebenaran di Parlimen, apa langkah seterusnya?
Mohd Amar: Ia akan diwartakan dan selepas itu undang-undang itu boleh dilaksanakan, soal hukuman potong tangan atau tidak ia bergantung kepada mahkamah cukup bukti atau tidak. Bukti kena mengikut syarat dan itu sudah cerita lain.
Soal orang yang ingin melaksanakan hukuman tidak semestinya pakar, rotan sudah ada, orang yang nak merotan pun sudah ada, di mahkamah dan dalam penjara, jika sudah dalam kebenaran Pusat sudah mesti mereka akan beri kerjasama selepas ini.
Malah, baru-baru ini kita sudah bersetuju dengan cadangan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) di mana Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menempatkan pegawai penyiasat di jabatan agama untuk bantu penguatkuasaan undang-undang syariah, iaitu membantu proses siasatan, pendakwaan dan sebagainya. Kita sudah menandatangani persetujuan agar benda ini lebih mudah, isu besarnya ialah membina mahkamah khas untuk hudud dan mahkamah rayuan khas.
Hakim pula kita sudah ada calon cuma tunggu pelantikannya. Selepas ini kita akan tingkatkan acara keterangan dan memantapkan penguat kuasa. Berapa peratus kadar indeks jenayah akan menurun kita tidak jamin kita serah kepada ALLAH SWT dan kita tidak kata jika laksanakan hudud tidak ada jenayah tetapi yakin akan turun pada tahap paling minimum.
Sekarang jenayah makin meningkat ia kerana salah satunya orang tidak takut pada hukuman, longgar pegangan agama dan masalah ekonomi. Apabila sudah ada yang mencuri kena potong tangan pasti yang lainnya akan lebih berhati-hati dan takut.
Sinar Harian: Pada pandangan Pas, kenapa DAP menolak hukuman ini?
Mohd Amar: Pada pandangan saya, DAP menolak perlaksanaan hudud kerana bimbang sokongan kaum Cina, jika ramai yang menyokong pasti DAP akan menyokong secara terbuka. Saya yakin ramai orang bukan Islam menyokong bukan di negeri ini sahaja malah negara juga.
Jika perlaksanaan tersebut mendatangkan kebaikan dan dijalankan secara saksama, saya pasti orang bukan Islam akan beri sokongan penuh pada masa akan datang. Lihat sahaja Bank Islam, ramai yang guna adalah orang Cina sebab apa kerana mereka lihat sistemnya yang baik. Hudud jika berjalan tanpa penyelewengan ramai akan sokong dan menurunkan kadar jenayah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.