Rabu, 30 April 2014

Hari-hari menjelang 'May Day'

Hadri Shah



 
 
 
Sebenarnya, buruh mengalami seribu satu permasalahan yang boleh diperjuangkan untuk mencapai pelbagai matlamat demi kebaikan bersama.

Menjadi fitrah manusia mengkehendaki kehidupan yang lebih baik. Dan kalau bukan kerana tekanan dan asakan demi asakan yang dikenakan oleh majikan dan pemerintah, pekerja berkemungkinan mengenal erti perjuangan untuk mencapai fasa hidup yang lebih baik.

Justeru itu, tidak hairan, hari buruh atau hari pekerja yang kita rayakan sekarang merupakan satu manifestasi dari tindakan kaum pekerja di Australia yang keluar menyatakan tuntutan 8 jam bekerja pada tahun 1856.

Pekerja Australia pada ketika itu sedang ditindas oleh majikan mereka dengan cara jam kerja yang sangat panjang dan upah buruh yang rendah.

Sejak itu, kaum pekerja bersatu untuk merayakan 1 Mei sebagai wadah perjuangan kelas yang disantuni beratus tahun yang dahulu.

Di Malaysia, 1 Mei mula disambut seawal tahun 1972. Terima kasih pada kaum pekerja pada waktu itu yang mula mencernakan bibit-bibit perjuangan mengangkat martabat kaum pekerja agar tidak terus menerus ditindas oleh majikan dan pemerintah.

Khabarnya, 1 Mei pada tahun ini di Malaysia sambutannya akan menjadi berbeza dari tahun tahun yang sudah.

“Gasak sampai tumbang” dan pelbagai lagi slogan yang sama di diuar-uarkan di media alternatif mempromosi dan mengajak rakyat khususnya kaum pekerja untuk berarak dari KLCC menuju Dataran Merdeka.

Tujuan protes ini jelas untuk menyatakan bantahan dari kaum pekerja kepada aplikasi cukai baru GST yang diluluskan di Parlimen.

GST hadir ketika seribu permasalahan pekerja yang lain yang masih tidak selesai. GST hadir sebagai 'kesedaran' buat pekerja di Malaysia yang sebelum ini merayakan 1 Mei dengan menonton televisyen di rumah atau pusat membeli belah.

GST juga satu anugerah kerana kaum pekerja sekarang akan dipaksa membayar satu lagi cukai yang membebankan ketika kos sara hidup semakin tinggi.

'Kerja macam anjing'

Cuba tanya pemandu teksi di sekitar Kuala Lumpur, apa masalah mereka? Bagaimana pula dengan mereka yang bekerja di kilang perindustrian? Saya pasti pekerja di sektor perbankan, pertanian, perladangan malah para pekerja di sektor awam juga mengalami pelbagai masalah yang belum selesai.

Dari masalah jam bekerja, persekitaran kerja tidak demokratik, penindasan majikan terhadap buruh asing, upah tidak setimpal, tiada ruang pembangunan kendiri, isu keselamatan di tempat kerja, kuasa membeli yang semakin hilang, namakan saja yang lain-lain.

Apa masih ada lagi tempat untuk GST menjadi pertambahan dalam senarai yang menyakitkan ini?

Kata seorang pekerja rajin di pejabat:

“Kita kerja macam anjing. Majikan tak habis-habis beri tekanan. Itu, ini semua mesti diselesaikan. Cukup bulan, duit gaji habis bayar hutang. Tiada masa yang berkualiti boleh diperuntukkan untuk diri sendiri apalagi untuk isteri dan anak-anak di rumah.

“Kena datang kerja pada hari Sabtu, hanya ada hari Ahad untuk berehat. Itu pun banyak di habiskan masa untuk tidur.”

Bunyinya sangat kasar, bukan?

Mungkin, saudara yang membaca tulisan ini boleh memberi penjelasan yang kukuh tentang signifikan aplikasi GST. Atau saudara juga boleh berikan satu ratus satu hujah kenapa GST wajib di mansuhkan.

Saya tetap dengan jawapan yang satu.

Pekerja atau buruh di Malaysia mengalami seribu penderitaan yang masih belum disembuhkan. Mengapa harus ditambah lagi penderitaan?

Jika diperhatikan, saban tahun, laporan audit melaporkan pelbagai ketirisan, keborosan dan pelbagai kelemahan dalam mengurus tadbir perbelanjaan.

Saya sendiri letih dengan laporan-laporan ini. Kebobrokan yang dilaporkan itu jelas bukan datang dari tangan kita.

Eksperimen kerja 6 jam

Perlakuan sumbang dalam isu pemborosan ini datangnya dari sektor/kementerian kerajaan. Jadi mengapa kita yang perlu menanggung setiap tindakan pemerintah dengan mengenakan GST pada masa yang terdekat ini?

Mari kita alihkan pandangan kita pada kaum pekerja di Perancis dan Sweden. Dalam berita baru-baru ini, kaum pekerja di sana sedang mempraktis dan dalam masa sama bereksperimen dengan jam masa kerja yang lebih pendek iaitu 6 jam sehari.

Wah, tahun 1856 dahulu, kaum buruh di Australia menuntut 8 jam bekerja, kini pada tahun 2014, Perancis dan Sweden sudah mula bekerja 6 jam sehari saja! Tak bankrapkah negara?

Apa mereka di sana adalah bangsa yang malas bekerja? Atau, syarikat syarikat di sana sudah bersedia untuk gulung tikar?

Bila diteliti balik langkah baru ini, sedarlah kita bahawasanya, kurangnya masa bekerja memberi ruang untuk kaum pekerja lebih fokus dan progresif pada waktu bekerja yang diperuntukkan.

Masa 6 jam yang ditetapkan adalah masa yang sudah sempurna untuk pekerja menghabiskan kerja-kerja harian mereka sebelum mereka tutup monitor komputer untuk memberi laluan pada perkembangan diri sendiri.

Selari dengan itu, mereka di sana punya kualiti masa yang lebih untuk bersama famili. Juga dinyatakan dengan jelas dalam langkah mereka bekerja 6 jam sehari adalah untuk mengelakkan tekanan di tempat kerja yang melampau dan mempengaruhi kehidupan individu.

Bagaimana di Malaysia agaknya?

Majikan berbangga menguar-uarkan bahawa pejabat adalah rumah kedua pekerja dan pekerja terpaksa tunduk untuk menyelesaikan setiap kerja lebih masa yang ada kalanya tiada berbayar.
Jika permasalahan seperti ini pun kita sudah terlepas pandang, apalagi jika kita bicara impak GST terhadap kewangan kita?

Biar saya ceritakan pengalaman saya baru baru-baru ini di sebuah pasar raya. Di suatu sudut menjual susu bayi, saya terkejut kerana raknya dikunci rapat. Pembeli susu bayi mesti mendapatkan pekerja pasar raya untuk membuka kunci rak tersebut dan mengambil susu yang mahu di beli.

Di rak itu juga, ada banyak gambar yang menayangkan 'aksi' pencuri susu bayi ini. Di tulis besar besar di situ: " Pencuri, awas anda diperhatikan".

Curi susu

Melihat gambar itu, saya teringatkan satu kes mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 2 atau 3 tahun kepada seorang lelaki yang mencuri satu tin susu yang berharga lebih kurang RM60 untuk diberikan pada anak kecilnya di rumah.

Saya merasa begitu terganggu dengan keadaan begini.

Mencuri memang satu kesalahan. Tapi mahukah si lelaki tadi mencuri jika dia bukan dalam kesempitan hidup?

Susu itu bukan untuk dirinya, tetapi untuk anaknya yang kecil. Dan lelaki itu saya pasti seorang pekerja yang sedang 'nazak' kewangannya. Dia tiada rekod jenayah sebelum ini.

Keadaan sosio ekonomi pekerja di Malaysia sudah meruncing. Pendapatan sebanyak RM3,000 di Kuala Lumpur dan bandar besar di Malaysia sudah di kategorikan sebagai miskin bandar, apatah lagi jika ia lebih rendah.

Ramai di kalangan kita tidak jemu jemu untuk mengambil pinjaman peribadi untuk meneruskan survival dan secara langsung, pekerja di Malaysia sudah menjadi hamba.

Nyanyi Ito, penyanyi Blues kegemaran ramai: “Kerja bagai nak gila,orang lain yang kaya.”

Berbalik pada protes 1 Mei, kaum pekerja yang bersemangat untuk hadir, janganlah semata-mata kerana mahu memenangkan parti politik masing masing. Tiada seorang anak muda yang akan ke Putrajaya pun dengan hadir pada protes 1 Mei nanti.

Biar kita hadir bersama ilmu dan ideologi, bukan berpaksikan matlamat untuk menangkan parti politik, jauh sekali untuk mengangkat Anwar Ibrahim atau Hadi Awang menjadi perdana menteri.

Masih ingat siri demo Black 505 yang berakhir di Dataran Merbok? Boleh beritahu saya sama ada pemerintah peduli atau tertekan dengan ceramah ceramah yang tidak sudah diselang seli dengan tempikan yang 'lame' sambil hadirin sedap memenuhkan perut dengan nasi beriyani, cendol dan minuman yang dijual sekitar kawasan itu.

Tak cukup dengan itu, mereka berpeluang untuk membeli belah baju-baju yang bermotifkan politik. Suasana sebegitu tak ubah seperti suasana di Uptown. Cuma bezanya tiada karaoke.

Kita sendiri harus jelas dengan matlamat asal, yakni memberi tekanan pada pemerintah yang tugasnya bukan lagi memberi kemaslahatan pada negara.

'Protes nasi beriyani'

Kita tidak sepatutnya tunduk pada pemerintah bilamana mereka menyatakan bahawa himpunan kita menutup periuk nasi peniaga. Kita juga tak perlu membuktikan pada mereka yang perhimpunan kita ini aman semata-mata adanya gerai menjual nasi beriyani!

Kalau begitulah amalan demonstrasi kita, saya pasti pendukung revolusi Bolshelvik dan revolusi di Tunisia menangis hiba. Dan semestinya pemerintah kita tersenyum sahaja kerana tiada apa-apa perlu ditakutkan.

Tak perlu saya imbas bagaimana siri protes BERSIH memberi tekanan yang besar pada pemerintah. Jadi saya nasihati kaum pekerja untuk turun merayakan protes dengan amalan sebaiknya, bukan hanya melepak di tepian sudut.

Untuk yang pekerja yang bakal bergasak sampai tumbang, kesedaran itu wajib hadir dulu dalam benak masing-masing. Ia disusuli dengan ilmu dan ideologi sebagai senjata untuk bertempur.

Medan demonstrasi hanya sebagai pengantara untuk menyalurkan tekanan pada pemerintah. Benar, GST sudah diluluskan di parlimen. Tetapi yang meluluskannya hanya seratus orang lebih sahaja. Manakala yang di luar parlimen ini, suaranya jutaan. Mana yang lebih kuat?

Lupakan laungan laungan seperti " Najib Altantuya, Rosmah Gemuk" dan sebagainya, kerana itu hanyalah cara melawan budak kecil yang tak memberi apa apa kesan. Pekerja yang merdeka, bermaruah dan tinggi ilmu dan kesedarannya lebih baik cara melawannya.

Izinkan saya nyatakan petikan kata Karl Marx:

“Sistem Kapitalisme tidak mungkin dan tidak akan jatuh dalam masa yang terdekat, tetapi yang membuatkan sang kapitalis kecut perut adalah bila mana sang buruh memiliki kesedaran yang tinggi dan melawan bersama ideologi.

“Saat itu, kapitalisme sudah bertemu dengan hari hari keruntuhannya."

Saya nyatakan juga petikan kata manusia terhebat wujud di dunia ini, junjungan terbesar umat, Nabi Muhammad SAW:

"Jihad yang paling afdal ialah berkata benar di hadapan pemimpin yang jahat." - Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah.

Selamat berprotes kaum pekerja! Jumpa di Dataran.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.