SHAH ALAM - Mahasiswa yang memiliki Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) hanya boleh membeli buku akademik, jurnal dan majalah ilmiah sahaja, berkuatkuasa pada 1 Mei depan.
Menurut Kementerian Pendidikan, langkah ini diambil selaras garis panduan yang baharu dan bagi memastikan pemberian BB1M mencapai matlamatnya.
"Selain itu, kelonggaran yang membolehkan mahasiswa mengguna sebanyak 20 peratus daripada nilai baucar yang tidak dapat dihabiskan untuk membeli barangan lain selain buku turut dimansuhkan.
"Kementerian Pendidikan memandang serius terhadap sebarang penyalahgunaan BB1M dan menghargai aduan berkenaan penyalahgunaan daripada orang ramai," katanya yang dipetik dalam satu kenyataan, hari ini.
Kerajaan memperkenalkan BB1M sejak 2012 bertujuan meringankan beban perbelanjaan pembelian buku-buku pengajian dan memupuk minat membaca di kalangan rakyat Malaysia.
Sehingga kini, BB1M dimanfaatkan lebih 3.9 juta mahasiswa pra-universiti dan Institut Pengajian Tinggi (IPT) warganegara Malaysia dengan peruntukan RM890 juta.
Bagi tahun 2014, peruntukan sejumlah RM325 juta diluluskan kerajaan untuk menjayakan pemberian BB1M kepada 1.3 juta mahasiswa.
Sementara itu, kenyataan itu turut menambah, garis panduan tersebut memperketatkan peraturan kepada pekedai buku iaitu mana-mana pekedai buku yang didapati bersalah menyalahgunakan BB1M akan disenaraihitamkan dan tidak dibenarkan menyertai program BB1M selama tiga tahun berturut-turut.
Langkah ini adalah tambahan kepada peraturan sedia ada iaitu tindakan undang-undang mengikut Seksyen 403, Kanun Keseksaan ke atas pihak yang menyalahgunakan BB1M.
"Adalah diharapkan tidak akan berlaku kekeliruan di antara pekedai buku dan mahasiswa dalam pindaan garis panduan BB1M ini.
"Garis panduan ini dapat memudahkan kedua-dua pihak dan diguna dengan sebaiknya selaras dengan objektif BB1M," katanya.
Maklumat lanjut mengenai pindaan garis panduan tersebut boleh didapati melalui portal rasmi Kementerian Pendidikan www.moe.gov.my.
Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada urusetia BB1M melalui e-mel bb1m@moe.gov.my.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.