Oleh HARIS ZALKAPLI
DEMONSTRASI membantah cukai barangan dan perkhidmatan dijadual pada 1 Mei nanti, dekat Dataran Merdeka, tempat yang selama ini tidak dapat dijadikan lokasi sentral protes oleh Pakatan Rakyat dan penyokong.
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menegaskan lokasi pilihan tetap Dataran Merdeka walau apa pun yang menghalang.
Dalam siri demonstrasi sebelum ini, Dataran Merdeka sentiasa tersenarai sebagai salah satu lokasi, tetapi bukan lokasi utama yang menjadi pusat protes di ibu negara.
Kawasan yang biasa dipenuhi ialah sekitar depan Dataran Merdeka hingga ke Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Masjid India, tetapi bukan betul-betul di atas padang Dataran Merdeka.
Sebelum ini pernah diadakan protes menduduki Dataran Merdeka, yang dikreditkan sesetengah pihak sebagai melahirkan gerakan Occupy antarabangsa.
Aksi protes ini walau bagaimanapun ditamatkan dengan segera dan tegas oleh pihak berkuasa, yang mungkin menyedari kelebihan yang dimiliki pihak memprotes dengan menduduki lokasi itu.
Di tengah bandar Kuala Lumpur, Dataran Merdeka ialah lokasi simbolik dan sentral yang paling menarik untuk dijadikan lokasi protes besar-besaran.
Di negara-negara lain yang telah menyaksikan protes, terutama yang berjaya mencapai matlamat menjatuhkan pemerintah, protes mengambil lokasi dataran utama di ibu negara, seperti Dataran Merdeka di Kiev, Ukraine, Medan Tahrir di Kaherah, Mesir, dan Bulatan Mutiara di Manama, Bahrain.
Kuasa tersendiri lokasi simbolik dan sentral itu menghadirkan sekali pelbagai faktor lain yang membantu protes, termasuk akses dan perhatian segera.
Di Bahrain, pihak berkuasanya akhirnya merobohkan monumen sejarah berbentuk mutiara yang menjadi titik fokal Bulatan Mutiara, dalam usaha menamatkan terus kewujudan lokasi penting itu.
Bahrain, negara yang menyaksikan kebangkitan rakyat hampir sekitar setahun sebelum kebangkitan di Tunisia yang dinilai sebagai permulaan kebangkitan Arab akhirnya menyaksikan kemerosotan kekuatan protes terhadap pemerintah selepas lokasi simbolik itu dimusnahkan, ditambah dengan faktor geopolitik melibatkan kuasakuasa serantau dan Amerika Syarikat
Menurut taktik-taktik yang disenaraikan oleh pengkaji kebangkitan sivil, Gene Sharp, lokasi simbolik penting untuk diduduki dan dijadikan kubu kepada gerakan protes.
Mesir dan Ukraine membuktikan kuasa lokasi simbolik dan sentral itu, yang menjadi penyumbang besar kepada kejayaan protes, dan dalam kes Ukraine, lebih daripada sekali.
Protes di lokasi utama, dalam kes Malaysia Dataran Merdeka, memberi nilai sentimen politik yang tinggi akibat kedudukannya dalam sejarah negara, selain kelebihan lain seperti akses yang mudah.
Walau bagaimanapun, Dataran Merdeka tidak berjaya dijadikan sebagai lokasi utama demonstrasi di negara ini, seperti halnya melibatkan Mesir dan Ukraine.
Lokasi protes di Kuala Lumpur biasanya berubah-ubah, dengan penetapan dilakukan pada saatsaat akhir dan melibatkan banyak tempat sekaligus, walaupun tempat pertemuan biasanya ditetapkan di satu lokasi.
Tetapi berbeza dengan protes di luar negara, demonstrasi di negara ini biasa berlangsung dalam masa yang singkat, dan tidak melibatkan aksi menduduki lokasi simbolik dan sentral untuk tempoh yang panjang.
Protes menolak GST pada 1 Mei nanti bakal mengubah pendekatan dari segi lokasi ini, sekiranya Dataran Merdeka berjaya dimasuki dan dijadikan pusat demonstrasi, dan lebih utama, dijadikan lokasi tetap protes-protes berikutnya sekiranya ada.
Tajuk protes melibatkan cukai dan kos hidup meningkat yang dirasai oleh lebih ramai warga berbanding isu-isu politik yang secara terus lebih melibatkan partiparti politik dan pertubuhan bukan kerajaan, berupaya memberi impak tambahan kepada protes menolak GST ini kepada pembangkang.
Hal ini mungkin menjadi satu nilai tambah yang paling kuat kepada gabungan Pakatan dalam memimpin penyampaian protes terhadap pemerintah.
Tarikh 1 Mei nanti akan menunjukkan kepada kita hala tuju dan perkembangan hal ini, dan sejauh mana Pakatan dan sekutu dapat menguasai dan memanfaatkan Dataran Merdeka.
http://siasahdaily.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.