Susulan hujan lebat yang berterusan, paras air di empangan Sungai Selangor mencecah 40.23% sehingga 8 pagi Selasa, meningkat dari 38.97% pada minggu lalu, menurut laman web Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim memberikan gambaran seolah-olah akan membuat pengumuman positif pada Rabu.
Pada 25 April lalu, catuan air hanya akan ditarik balik secara berperingkat apabila paras air di empangan Sungai Selangor melebihi 40%.
Satu sidang media yang sepatutnya diadakan pada pukul 2.30 petang Selasa untuk mengumumkan mengenai perkembangan isu air telah ditangguhkan pada Rabu.
Khalid menulis di laman Twitternya mengenai penangguhan tersebut.
'Sehingga menunggu pengumuman dibuat, beliau berkata: 'InsyaAllah positif.'
Menurut sumber, tindakan menarik balik pelaksanaan catuan air yang dikuatkuasa sejak dua bulan lalu akan dilakukan untuk meredakan kemarahan rakyat.
Sumber berkata, keputusan tersebut turut bermotifkan politik kerana pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PRK) akan berakhir pada 11 Mei ini di Selangor.
"Jika catuan air ditarik balik, ia akan memberi gambaran positif terhadap kerajaan Selangor dan Menteri Besar," kata sumber.
Khalid merebut jawatan Timbalan Presiden dalam saingan tiga penjuru menentang penyandang, Mohamed Azmin Ali dan setiausaha agung parti, Saifuddin Nasution Ismail.
Sumber berkata, kerajaan Selangor yakin bekalan air mencukupi walaupun ramalan cuaca menjangka musim kering yang panjang bermula Mei hingga September ini.
Empangan Sungai Selangor membekalkan 60% air ke Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.
Sementara itu, penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Abdul Khalid untuk menghentikan catuan air berikutan peningkatan paras air di kebanyakan empangan di negeri itu.
Dalam satu kenyataan, Anwar berkata, walaupun paras air di empangan Sungai Selangor mencecah hanya 40.23% pada Selasa, lima empangan lain di negeri itu turut menunjukkan bacaan stabil dan mampu membekalkan air kepada rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.