SHAH ALAM: Polis menahan bekas pemandu anak sulung Menteri Dalam
Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bagi membantu siasatan
berhubung kejadian kecurian di rumahnya di Country Heights, Kajang pada
Sabtu lalu.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata lelaki
berusia 42 tahun itu ditahan di rumahnya di Seri Kembangan pada pukul 1
pagi Ahad.
Katanya, lelaki terbabit dipercayai menceroboh masuk ke rumah bekas
majikannya, Nurul Hidayah menggunakan kunci rumah yang diberikan ketika
masih berkhidmat.
"Siasatan awal bagaimanapun mendapati tiada sebarang kesan pecah masuk
dalam kejadian itu," katanya selepas melancarkan Program Keselamatan
Jalan raya dan Pemanduan Berhemah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen
Selangor di sini, Isnin.
Beliau berkata, lelaki itu ditahan reman sehingga esok.
Pada kejadian Sabtu lalus, lelaki itu dipercayai melarikan dua jam tangan serta wang tunai RM1,000.
Dalam kes berasingan, Abdul Rahim berkata seorang lelaki ditemui mati
di kaki lima di Jalan Seapark, Petaling Jaya, awal pagi Isnin.
Beliau berkata mayat suspek yang berusia dalam lingkungan 40 tahun
ditemui berdekatan sebuah farmasi di kawasan itu pada pukul 4.13 pagi.
Katanya lelaki terbabit dipercayai cuba memecah masuk sebuah pejabat
guaman dengan menendang pintu premis sebelum cedera di paha kanan akibat
tertusuk kaca dan mati di tempat kejadian disebabkan pendarahan teruk.
"Kejadian dilaporkan oleh seorang peguam yang kebetulan memasuki pejabat pada pagi itu," katanya.
Mayat suspek dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat.
Polis menemui sebuah beg sandang dan beberapa peralatan pecah rumah dipercayai milik suspek di tempat kejadian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.