Selasa, 29 April 2014

Anwar arah tindakan tegas terhadap kes tipu undi di Batang Sadong

Post Pic
Oleh Shawaliah Hadir
PETALING JAYA: Penyandang Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang sebelum ini didesak agar dibatalkan pencalonan pada pemilihan parti, hari ini menerima satu lagi tamparan apabila Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengeluarkan kenyataan yang dilihat tidak memihak kepada beliau.
 
Anwar sebalikya mahu Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) bertindak keras kepada mana-mana calon yang telah terbukti salah memanipulasi undi menjelang pemilihan parti itu.
 
Seolah-olah merujuk kepada Azmin, Anwar yang memetik contoh kes Batang Sadong, Sarawak berkata, tiada pihak yang akan terlepas daripada tindakan disiplin jika terdapat elemen penipuan dan kecuaian sekalipun ianya melibatkan pemimpin.
 
"JPP dalam memberikan penjelasan kepada saya arahan kita adalah sebaik ada elemen kecuaian dan penipuan siasat segera, batal atau tangguh jangan tolak ansur sama sekali. Tidak kira siapa calon yang menang.
 
"JPP tidak terikat dengan pimpinan tetapi sebaik sahaja yang dianggap curang atau cuai atau ada jelas penipuan tindakan segera diambil," katanya semasa sidang media di ibu Pejabat PKR hari ini.
 
Semalam, Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin mendesak supaya Azmin dibatalkan pencalonannya dalam pertandingan merebut jawatan itu ekoran didakwa memanipulasi undi di cabang Batang Sadong, Sarawak.
 
Beliau yang lebih dikenali Che Gu Bard berkata, berdasarkan laporan yang dibuat oleh pasukan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, JPP perlu bertindak tegas terhadap Azmin.
 
JPP semalam menegaskan tidak akan bertoleransi dengan pihak yang terbabit jika didapati bersalah dan sekiranya dakwaan terbabit benar. 
 
Dimaklumkan ketika proses pengiraan undi dilakukan di dalam tiga bilik hotel bajet, pintu lambat dibuka dan pada masa sama berlaku 'blackout'.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.