Ahad, 27 April 2014

3 pelajar UIA kritikal selepas bas terjunam

BERNAMA 


KUALA LUMPUR: Tiga pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dilaporkan kritikal selepas bas universiti yang dinaiki hilang kawalan lalu terjunam ke tempat takungan air sebuah tapak pembesaran jalan di KM25.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di sini hari ini.
  
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi, lima pelajar lagi turut dilaporkan parah manakala 23 yang lain termasuk pemandu bas cedera ringan.
  
Pemangku Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur ASP Mohd Fadhli Daud berkata kesemua pelajar berusia antara 19 dan 24 tahun itu adalah warga tempatan dan dipercayai dalam perjalanan ke Bukit Cerakah, Shah Alam untuk program ukhwah Kelab Student Facilitating Front (STUFF) UIAM.
  
"Kesemua pelajar yang kritikal berusia antara 21 dan 22 tahun dihantar bersama 26 yang lain ke Hospital Sungai Buloh, seorang dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur dan seorang lagi iaitu pemandu bas dirawat di Klinik UIAM Gombak," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
  
Mohd Fadhli berkata sebelum kejadian pemandu bas berusia 39 tahun ada mengadu kurang sihat namun polis sedang menjalankan siasatan punca kejadian.
  
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah, Che Ku Mohd Azizan memberitahu pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 9.45 pagi sebelum mengerahkan empat jentera bersama 16 anggota ke tempat kejadian.
  
“Setiba di tempat kejadian, ada antara mereka terperangkap di celah kerusi namun kesemuanya berjaya dibawa keluar kurang sejam kemudian," katanya.
  
Seorang pelajar Mohd Farhan Affendi Yunos, 21, berkata dia sedang berbual-bual bersama rakannya ketika kejadian sebelum bas berkenaan tiba-tiba tergelincir ke tepi jalan lalu terbabas.
  
"Saya ingatkan tidak apa-apa akan berlaku namun sangkaan saya meleset apabila bas itu kemudian terjunam pula ke takungan air di tapak pembesaran jalan itu," katanya.
  
Mohd Farhan berkata rakan di sebelahnya cedera di muka apabila terkena tingkap bas sewaktu bas terbalik manakala dia hanya cedera di kaki akibat terhimpit di antara rakannya dan kerusi bas. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.