Meneliti persoalan yang ditimbulkan oleh mantan mufti Perlis Dr Asri Zainul Abidin di dalam Malaysiakini semalam, saya tertarik untuk menulis artikel ini bagi mencadangkan penambahbaikan terhadap sistem pengurusan wang zakat negara agar dapat menyelesaikan masalah yang timbul hasil dari kelompangan sistem sedia ada.
Allah SWT telah menjelaskan golongan yang berhak menerima zakat iaitu melalui firmannya yang bermaksud;
"Sesungguhnya zakat-zakat itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para mu'allaf yang dijinakkan hatinya, untuk (memerdekakan budak), orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan, sebagai sesuatu ketetapan yang diwajibkan Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana." (Surah at-Taubah : ayat 60).
Tafsiran ayat di atas jelas menunjukkan terdapat lapan golongan manusia yang berhak menerima zakat. Mereka adalah al-fuqara' (orang fakir), al-masakin (orang miskin), amil, orang mualaf yang dijinakkan hatinya, al-riqab (hamba), algharimin (orang yang dibebani hutang), fi-sabilillah (orang yang berjuang di jalan Allah) dan akhirnya ibnsabil (musafir yang sedang dalam perjalanan).
Sistem pengutipan zakat di negara boleh dikatakan berada pada tahap yang maju. Jika dilihat kepada kepelbagaian kaedah dan cara kutipan zakat maka tidak menghairankan jika jumlah hasil zakat saban tahun mencatatkan kenaikan. Pembayaran di kaunter, kemudahan potongan gaji, bayaran melalui pos, bayaran secara atas talian dan mewujudkan kiosk pembayaran zakat di masjid-masjid terpilih adalah antara fleksibiliti yang diwujudkan oleh pusat pungutan zakat negeri bagi mengalakkan pembayaran zakat.
Apabila jumlah kutipan meningkat, maka kita boleh mengandaikan jumlah zakat yang diagihkan kepada fakir miskin juga akan meningkat. Ini akhirnya akan memberi kesan positif kepada taraf sosio-ekonomi asnaf zakat melalui peningkatan jumlah dan jenis bantuan zakat lantas memberdaya golongan asnaf khususnya daripada kalangan fakir dan miskin untuk keluar dari belenggu kemiskinan. Namun perkara ini tidak berlaku. Kenapa? Sebab utamanya adalah kerana masalah di dalam sistem pengagihan zakat yang terlalu ketara.
Jika dilihat kepada kes-kes kemiskinan umat Islam yang didedahkan oleh pihak media, pastinya para pembayar zakat terfikir ke manakah wang bayaran zakat mereka pergi? Ditambah pula dengan tindakan sesetengah pusat zakat yang melaksanakan operasi secara mewah dan membeli hartanah kononnya di atas nama pelaburan. Pembayar zakat hilang selera untuk membayar zakat kepada pusat zakat lantas membayar terus kepada asnaf. Lebih malang lagi, apabila ada golongan yang langsung tidak membayar zakat atas alasan kerana hilang kepercayaan kepada sistem zakat sedia ada. Apakah yang berlaku apabila para pembayar zakat terus membayar kepada asnaf? Kebanyakan pembayar zakat akan menumpukan kepada fakir miskin yang dikenali sahaja. Ini menyebabkan pengagihan zakat tidak menyeluruh dan asnaf-asnaf lain terpinggir.
Oleh hal yang demikian saya mencadangkan agar perlaksanaan kaedah kutipan dan pengagihan zakat dilakukan secara setempat berdasarkan kariah. Hal ini kerana hanya orang tempatan lebih mengetahui keperluan dan masalah asnaf di tempatnya. Di dalam sistem sedia ada, petugas atau amil secara tidak sedar membawa zakat yang dikutip ke tempat lain sedangkan penduduk asal memerlukannya. Oleh hal yang sedemikian sebaiknya pihak berkenaan mengembalikan zakat kepada penduduk di kawasan zakat dikutip terlebih dahulu sebelum dibawa ke tempat lain seperti amalan zakat yang dilakukan sewaktu zaman Khalifah Umar Abdul Aziz.
Lebihan zakat dari sesuatu kariah yang dibawa keluar hendaklah disalurkan ke kawasan yang mengalami defisit dalam pengagihan zakat diakibatkan oleh jumlah asnaf yang mengatasi jumlah hasil zakat yang ada. Secara tidak langsung wang zakat yang disalurkan ke kariah/daerah/negeri lain akan mengurangkan jurang perbezaan ekonomi umat Islam di seluruh negara.
Selain itu, lantikan amil tempatan berjawatan tetap dan berlatarbelakangkan pendidikan berkaitan pengurusan zakat juga boleh meningkatkan kredibiliti pengurusan dan pengagihan zakat. Amil tempatan juga perlu mahir tentang keadaan sosio-ekonomi tempatan dan diupayakan dengan kuasa untuk memutuskan jenis dan jumlah bantuan yang perlu diberikan kepada setiap asnaf yang ada. Proses pencarian asnaf juga akan menjadi lebih mudah sekiranya pusat komuniti bagi urusan zakat diwujudkan di setiap masjid.
(*) Muhammad Khalil Abdul Hadi ialah Timbalan Ketua, Dewan Pemuda PAS Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.