MALAYSIAKINI
Waris penumpang MH370 dari China mahu Kerajaan Malaysia dan Malaysia
Airlines (MAS) meminta maaf kerana mengisytihar kematian kesemua 239
orang dalam penerbangan MH370, tanpa mengemukakan bukti konklusif.
Seorang
wakil kepada 34 orang waris berkenaan, Jiang Hui berkata kerajaan
Malaysia melalui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bertindak dengan
tidak bertanggungjawab apabila mengumumkan perkara itu, 24 Mac lalu.
"Kami mahu Kerajaan Malaysia dan MAS memohon maaf kepada keluarga dan waris berkenaan isu ini.
"Pada 24 Mac, Kerajaan Malaysia beri kenyataan tidak bertanggungjawab
bahawa kapal terbang terhempas tanpa bukti," kata beliau dalam sidang
media dalam bahasa Mandarin di sebuah hotel di Subang hari ini.
Katanya, mereka kini terdesak kerana pertemuman dengan wakil penting
Malaysia sebelum ini hanya memberi "maklumat tidak efektif kepada
mereka".
Mereka juga kesal kerana wakil berkenaan perlu memeriksa maklumat dengan kerajaan Malaysia untuk setiap pertanyaan mereka.
Oleh
itu, kumpulan tersebut mahu bertemu dengan wakil dari kerajaan
Malaysia, pembuat pesawat Boeing, pembuat enjin, Rolls Royce, syarikat
satelit Inmasat serta wakil operasi mencari dan menyelamat bagi
mendapatkan jawapan.
"22 hari telah berlalu, tiada satupun mereka menemui kami. Adakah ini bermakna qualiti produk mereka bermasalah?...
"Kami berharap dalam beberapa hari ini kami turut boleh bertemu dengan
pasukan penyelamat, MAS dan kerajaan Malaysia untuk berkomunikasi.
Lebih ramai akan tiba
"Kami harap komunikasi ini tak berlaku seperti di Beijing," katanya.
Kata-katanya itu disambut dengan sorakan slogan "Kami mahu kebenaran",
"Kami mahu bukti", dan "Kami mahu keluarga kami" oleh kira-kira 30 orang
yang lain.
Individu berkenaan turut mengenakan baju-T berwarna putih dengan tulisan
"Doakan untuk MH370" dan "Kembalilah dengan aman" dalam bahasa Cina.
Kumpulan berkenaan turut mempamerkan kain rentang dengan slogan sama.
Jiang
turut menyatakan, beberapa lagi anggota keluarga dari China akan hadir
dalam minggu ini untuk bergabung dan membawa mesej sama dengan kumpulan
pertama ini.
"Kita akan memanggil sidang media di sini sekiranya ada perkara yang hendak disampaikan."
Kumpulan waris kepada penumpang berkenaan dibawa untuk menyertai satu
perbincangan dengan wakil kerajaan Malaysia dan juga Malaysia Airlines
di hotel berkenaan, sebaik tiba dari Beijing pagi ini.
Terdahulu, para waris penumpang berkenaan mengunci mulut dan enggan
memberi sebarang kenyataan kepada para wartawan selepas pertemuan selama
lebih dua jam.
Seramai 15 orang dari 34 orang yang menyertai pertemuan tersebut
menegaskan mereka “tidak mahu bercakap”, apabila para wartawan
mengerumuni mereka sebaik keluar dari bilik perbincangan di hotel
tersebut.
Wakil
Kedutaan Cina yang diketuai setiausaha pertamanya Liu Peng Xiang juga
enggan memberi sebarang kenyataan ketika diasak para wartawan.
Kumpulan waris tersebut, yang menyertai perbincangan sebaik tiba di
Malaysia pagi ini, hanya diiringi oleh 20 orang wakil MCA, diketuai naib
presiden Datin Chew Mei Fun.
Seramai lapan orang wakil MAS, termasuk enam anggota keselamatannya
turut mengiringi para anggota keluarga penumpang berkenaan dari pintu
dewan perbincangan ke sebuah lif.
Tiada anggota polis dilihat mengawal para anggota keluarga tersebut,
yang dikerumuni seramai kira-kira 50 orang petugas media dari pelbagai
agensi dalam kejadian selama kira-kira 10 minit itu.
Para wartawan yang berasak-asak dalam kejadian tersebut menunggu sejak
jam 11 pagi di luar bilik berkenaan sebaik mendapat tahu para waris
tersebut dibawa ke hotel berkenaan dari Lapangan Terbang Antarabangsa
Kuala Lumpur.
Naib presiden MCA Datin Chew Mei Fun yang mengetuai unit bantuan krisis
parti itu merupakan wakil kerajaan Malaysia untuk berurusan dengan
anggota keluarga penumpang berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.