Sabtu, 1 Mac 2014

Usaha sama merugikan, kerajaan pertimbang rampas tanah GLC, kata MB Selangor

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK



























Kerajaan negeri Selangor tidak akan teragak-agak merampas semula tanah atau mengambil tindakan lebih wajar terhadap syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi kerajaan negeri sekiranya terlibat dalam usaha sama yang tidak menguntungkan.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) berkata, kerajaan negeri mengeluarkan arahan kepada semua GLC supaya lebih berhati-hati dalam membuat perjanjian melibatkan pembangunan tanah dengan pihak swasta supaya tidak hanya memberi keuntungan kepada syarikat swasta terbabit.

“Bagi memastikan hak rakyat Selangor terus terpelihara, kerajaan negeri akan meneruskan usaha mengenal pasti  aset dan tanah kepunyaan GLC dan agensi kerajaan negeri dengan memperbetulkan mana-mana perjanjian berat sebelah atau merampas semula tanah yang terlibat.

“Pengalaman perjanjian usaha sama antara Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dengan Nusa Gapurna yang akhirnya menjadi kes mahkamah adalah satu contoh perjanjian yang sedang disiasat kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khalid berkata, kerajaan negeri mengambil iktibar dengan apa yang berlaku sebelum ini apabila satu Perjanjian Penyelesaian Hutang terpaksa dimeterai setelah Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) dan beberapa GLC bekerjasama dengan syarikat swasta termasuk Kumpulan Talam.
Katanya, menerusi perjanjian itu, kerajaan negeri terpaksa membetulkan kesilapan untuk mendapatkan semula tanah yang diberikan kepada Talam.

“Kerajaan negeri juga akan menggalakkan semua GLC menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan perjalanan urus niaga dibuat mengikut tatakelola yang betul sekaligus memastikan hak negeri terjamin,” katanya.

Hujung tahun lalu, empat anak syarikat PKNS menandatangani CIP bagi memastikan tadbir urus korporat yang telus, terbaik dan berintegriti.

Empat anak syarikat tersebut adalah Selangor Industrial Corporation, PKNS Infra Berhad, Worldwide Holdings Berhad dan PKNS Holdings Sdn Bhd.

Bekas Pengurus Besar PKNS Othman Omar berkata, CIP adalah satu komitmen dan ikrar terbuka syarikat swasta bagi memerangi gejala rasuah selain memperkukuh integriti organisasi dan menjalin kerjasama dengan SPRM.

Katanya, sejak pelaksanaan tender terbuka, PKNS berjaya menjimatkan perbelanjaan mencecah RM335 juta dan penjimatan tersebut dapat dimanfaatkan kepada rakyat Selangor dalam bentuk tanggungjawab sosial korporat (CSR) atau subsidi rumah mampu milik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.