SETIU - Sebanyak 151 pegawai dan anggota polis dari Terengganu akan ditugaskan untuk membantu menjaga keselamatan sepanjang proses pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Kajang, Selangor dijadualkan 23 Mac ini.
Timbalan Ketua Polis Terengganu Datuk Hamzah Mohd Jamil hari ini berkata kesemua mereka akan ditugaskan bermula tempoh berkempen sehingga hari pengundian.
Katanya penugasan anggota dan pegawai itu bagi membantu Polis Selangor menghadapi sebarang kemungkinan berikutan lokasi itu bakal menjadi tumpuan masyarakat luar untuk turut serta berkempen mewakili parti masing-masing.
"Walaupun PRK ini berlaku di luar Terengganu namun sebagai satu pasukan kita akan saling membantu. Kita harap dengan kekuatan yang dihantar ini akan dapat membantu menjaga keselamatan sepanjang proses berkempen," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian watikah pelantikan pengawas pusat sumber, pembimbing rakan sebaya dan penyerahan papan kenyataan Kelab Pencegahan Jenayah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Kemunting, di sini. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.