KUALA LUMPUR: DAP menyelar dakwaan Barisan Nasional (BN) bahawa Malaysia mempunyai sistem pendidikan bertaraf dunia setaraf United Kingdom.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, dakwaan itu tidak berasas kerana walaupun sektor pendidikan menerima peruntukan terbesar dalam belanjawan tahunan namun prestasinya jauh lebih teruk berbanding Thailand dan Vietnam.
“DAP bersetuju dengan pakar ekonomi Bank Dunia, Dr Frederico Gil Sander bahawa rakyat Malaysia sepatutnya terkejut kerana anak-anak mereka menunjukkan prestasi lebih teruk berbanding murid di Thailand dan Vietnam yang lebih miskin.
“Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) pada 2012 meletakkan tahap murid kita pada kedudukan 52 daripada 65, berbanding Vietnam yang menduduki tangga ke-17 daripada 65,” katanya ketika berucap pada perbahasan Bajet Tambahan, di Dewan Rakyat, hari ini.
Memetik laporan The Edge, Ahli Parlimen Bagan itu menegaskan, punca kepada masalah itu adalah kualiti pengajaran.
Katanya, DAP juga amat bersetuju dengan penyelesaian desentralisasi Dr Sander bagi mengagihkan lebih kuasa kepada sekolah untuk membuat keputusannya sendiri berdasarkan keadaan setempat.
Jelasnya lagi, melalui langkah itu, sekolah akan menjadi lebih efisyen dengan memberikan gred berdasarkan prestasi dan merit, yang tentunya memaksa mereka untuk mendapatkan guru lebih terlatih.
“Akhirnya, guru sekolahlah yang menjadi faktor perubahan dan memberi inspirasi kepada murid untuk berjaya.
“Soalannya, apakah BN berani untuk melaksanakan perubahan yang dicadangkan Bank Dunia.
“Atau adakah ego dan kebanggaan palsu mereka yang berkuasa dalam sistem pendidikan kita akan terus mengongkong Malaysia di tahap suku terendah di dunia daripada segi kualiti sistem pendidikan dan akhirnya kalah bukan sahaja kepada Thailand dan Vietnam, malah Indonesia,” ujarnya. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.