MSTAR ONLINE
Firma yang berpangkalan di Chicago, Ribbeck Law Chartered yang bertindak untuk ahli keluarga terlibat telah memfailkan petisyen penemuan di mahkamah Illinois, Chicago.
Monica Kelly, peguam utama dari Ribbeck Law berkata firma itu yang mempunyai kepakaran dalam undang-undang penerbangan telah didatangi oleh ahli keluarga dari China dan Indonesia.
Daripada 239 orang di atas kapal MH370, terdapat 153 warga China, 50 rakyat Malaysia dan tujuh warga Indonesia.
Kelly berkata, mereka telah bercakap dengan ahli keluarga dari kebanyakan negara dan menjangka kira-kira separuh daripada mereka yang terlibat akan turut mengambil bahagian dalam saman itu.
"Kami telah menyelesaikan banyak kes di mana bangkai telah musnah sepenuhnya, atau tiada mayat ditemui, atau bangkai ditemui tetapi kotak hitam tidak berfungsi. Kami tidak bergantung kepada perkara-perkara ini untuk memulakan proses undang-undang," kata Kelly, semasa taklimat kepada media di sini.
Beliau berkata saman itu boleh mengambil masa antara empat bulan hingga lima tahun, tetapi menjangkakan kes ini mengambil masa antara satu setengah hingga dua tahun.
Firma itu akan memberi tumpuan saman terhadap Boeing, kerana mereka percaya ini adalah kes peralatan tidak berfungsi tetapi boleh menambah defendan termasuk pengilang komponen lain atau orang-orang yang terlibat dalam melatih anak-anak kapal.
Manuel Von Ribbeck dari Ribbeck Law berkata, dalam undang-undang, penumpang tidak pernah bersalah dan tindakan ini adalah sekadar memastikan keluarga diberi pampasan sepenuhnya.
"Kami berharap keajaiban boleh berlaku, tetapi berdasarkan data yang kami lihat setakat ini, ia tidak kelihatan baik sama ada untuk penerbangan dan penumpang," kata Ribbeck.
Boeing, pengeluar pesawat 777-200 telah menerima beberapa tindakan undang-undang pada masa lalu.
Tuntutan terbaru adalah pada Januari tahun ini oleh sekumpulan penumpang penerbangan Asiana Airlines yang membuat pendaratan kecemasan di San Francisco pada 6 Julai tahun lepas, juga diwakili Ribbeck Law.
Tiga orang terbunuh dan lebih 180 yang lain cedera.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.