KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Seri Jamil Khir Baharom bersetuju dengan cadangan agar penyiasatan secara keseluruhan dibuat terhadap sekumpulan yang menggelarkan mereka 'Raja Bomoh'.
Menteri agama itu menyatakan demikian, selepas beberapa cadangan dikemukakan anggota dewan rakyat ketika beliau menggulung perbahasan Titah Diraja peringkat Menteri di JPM hari ini.
Cadangan itu dilontarkan Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) serta Khalid Samad (PAS-Shah Alam).
Bung ketika mencelah berkata, kehadiran kumpulan pembomohan yang melakukan ritual menggunakan teropong buluh dan tikar terbang di KLIA, dalam usaha mengesan pesawat MH370 tempoh hari sesuatu yang memalukan agama dan negara.
Pandangan sama dilontar Khalid yang menanyakan adakah menteri bersetuju supaya kumpulan pembomohan itu diambil tindakan.
Menurut Khalid, ini kerana dalam beberapa rakaman video, Raja Bomoh itu ada menyebut beberapa nama pemimpin besar Umno BN, termasuk mahu menampar pemimpin tertentu seperti buaya.
"Saya kira nama pemimpin besar Umno yang disebut itu perlu dibersihkan.
"Siasat siapa bayar, siapa benarkan," kata Khalid.
Jamil dalam jawapannya pula menjelaskan bahawa kerajaan tidak pernah mengarahkan mana-mana bomoh untuk mengesan MH370.
Beliau juga menegaskan bahawa penggunaan bomoh adalah melanggar syariat dan bercanggah dengan ajaran Islam.
"Ya, saya setuju (ambil tindakan). Dia juga ada sebut nama pemimpin pembangkang.
"Kertas siasatan telah dibuka oleh Majlis Agama Islam Selangor," kata beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.