Oleh Basyar Abd Kadir
KAJANG : Setelah memenangi kerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tanpa berlengah terus memfokuskan mengenai pembangunan belia bagi melaksanakan manifesto untuk anak muda di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.
Menurutnya, perkara itu sedia digerakkan dalam waktu terdekat memandangkan peruntukan untuk pelaksanaannya sudah tersedia.
“Peruntukan sememangnya sudah disediakan oleh PeBT (Penggerak Belia Tempatan) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).
“Berkenaan pembangunan anak muda, PeBT sudah ada peruntukan setiap zon, jadi perkara tersebut boleh digerakkan sekarang secepat mungkin,” kata Adun Kajang itu pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Ahli Majlis dan Yang Dipertua (YDP) MPKj, di Menara MPKj, di sini hari ini.
Sementara itu, YDP MPKj, Datuk Hassan Nawawi menjelaskan, pihaknya sedia menyalurkan sumbangan kepada setiap zon untuk tujuan pembangunan belia.
“Di bawah PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) ada 24 zon, setiapnya diberi RM5,000 setahun.
“Kalau hendak memohon kena buat kertas kerja dahulu, peruntukan memang ada,” katanya.
Pertemuan kali pertama ini selepas Wan Azizah menjadi Adun kawasan itu pada Ahad lalu bertujuan bagi membincang dan mengutarakan beberapa idea penambahbaikan di Kajang.
Antara hasil perbincangan tersebut adalah mengenai pemantauan bagi memastikan keberkesanan komunikasi antara penduduk dengan wakil rakyat dan beberapa isu tempatan yang lain.
Sebelum ini, Wan Azizah dalam manifesto PRK Kajang menyentuh empat teras utama meliputi pembangunan anak muda dan usahawan kecil, banteras jenayah dan tingkatkan keselamatan, pembangunan penyelenggaraan perbandaran dan kesesakan lalu lintas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.