Rabu, 26 Mac 2014

Kesatuan pekerja KTMB gesa Najib singkirkan presiden KTMB

Prestasi KTMB di bawah pimpinan Presiden Datuk Elias Kadir semakin menjunam dan telah hilang keyakinan dari pimpinan tertinggi. 

ktmb


PETALING JAYA: Kesatuan Pekerja-Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KPPKTMB) menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak  menamatkan khidmat Presiden Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Datuk Elias Kadir untuk menyelamatkan KTMB dari terus merudum.

Dalam satu kenyataan hari ini, Presiden KPPKTMB Abdul Razak Md Hassan berkata Mesyuarat Jawatankuasa Kerja KPPKTMB dengan mandat dari Majlis Eksekutif yang bersidang pada 18 Mac lalu memutuskan supaya campurtangan Najib diperlukan segera untuk menamatkan perkhidmatan Elias.

KPPKTMB menyenaraikan 14 dalil mengapa Najib, yang juga Menteri Kewangan perlu menamatkan khidmat Elias, antara lainnya kerana Pengerusi KTMB Datuk Ir Nawawi  Ahmad sendiri sudah hilang kepercayaan kepadanya.

“Rancangan Perniagaan kali kedua bagi tahun 2014 anjuran Pengerusi KTMB (Nawawi) sebagai pembuktian kegagalan Rancangan Perniagaan pertama yang dianjurkan oleh Presiden (Elias).

Ini membuktikan bahawa pengerusi telah hilang kepercayaan kepada presiden, dalilnya apa perlu pengerusi mencampuri urusan pengurusan KTMB iaitu urusan presiden yang mempunyai kuasa eksekutif,” kata Abdul Razak.

Antara alasan-alasan lain yang diberikan pihak Abdul Razak ialah pembaziran wang oleh Elias dalam mengekalkan khidmat nasihat dari firma dari India serta kelemahan urus tadbirnya yang disifatkan seperti memandangkan kebelakang.

“Imej KTMB tergugat dengan teruk, hilang kepercayaan pengguna serta merugikan wang rakyat dan menjejaskan nama baik kerajaan yang memerintah,” tambahnya lagi.

Dalam perkembangan sama, Abdul Razak berkata akan berpiket pada 9 Mei dari jam 4.30 petang hingga 7.00 petang di perkarangan Ibu Pejabat KTMB.

“Tindakan sedemikian adalah dengan tujuan merayu pada Datuk Seri (Najib) mengambil tindakan segera bagi mengelakkan KTMB terus merudum dan menyelamatkan KTMB,” jelasnya.

Tarikh itu juga adalah bersempena sambutan Hari Pekerja dan genap dua tahun Elias menjawat jawatannya itu, tambah Abdul Razak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.