Ahad, 30 Mac 2014

Kemerosotan pemikiran di Malaysia


pbs

 Oleh Aishah

SISTEM masyarakat yang semakin kompleks ini mendesak lahirnya pemikir untuk menyelesaikan masalah yang tidak beres yang dilihat dalam kehidupan sehari-hari.

Kejadian ini menurut Syed Hussein Alatas, menjadi tanggungjawab pemikir – memegang usaha memikirkan permasalahan masyarakatnya.
Negara yang baru merdeka dalam kawasan membangun diisi oleh masyarakat kelas atas dan menengah, mereka tidak menghormati pemikir masa lampau atau mengembangkan percakapan intelektual di rumah.

Golongan ini yang juga digelar sebagai Pak Pandir tidak mampu mencerna dan mengenalpasti satu-satu masalah, ia bukan sahaja tidak menyelesaikan masalah sedia ada malah menambah.
Sistem pendidikan di Malaysia, bermula dengan Laporan Razak (1956), Laporan Rahman Talib (1960), Laporan Jawatankuasa Kabinet (1979), Akta Pendidikan (1996), Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (2006-2010) dan penyediaan Pelan Pembangunan Pendidikan (2013-2025).
Kerajaan juga memperuntukkan 16 peratus daripada belanjawan negara setiap tahun untuk Kementerian Pelajaran.

Pelan Pembangunan Pendidikan ini mempunyai 3 gelombang, gelombang pertama (2013-2015) peningkatan dalam kemahiran guru, gelombang kedua (2016-2020) berlakunya perubahan struktur sistem pendidikan negara dan gelombang ketiga (2021-2025) kelompok sasaran seperti sekolah, guru dan pengetua akan menunjukkan prestasi melebihi standard minimum.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin ketika pembentangan Pelan Awal Pembangunan Pendidikan Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pelan ini disediakan hasil rundingan awam secara telus dan terbuka dan mengambil kira 90 peratus pandangan orang ramai menerusi siri jelajah Dialog Nasional Pendidikan Negara.

Bagaimanapun, Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) sekolah rendah mulai 2011 dan peringkat menengah rendah mulai 2012 menimbulkan rasa tidak puas hati kebanyakan guru sehingga terjadinya demonstrasi di ibu kota.

Selepas demonstrasi Anti-PPSMI pada 7 Mac 2009, kini demonstrasi bantah PBS pada 22 Februari lalu.

Kebanyakan guru merungut dan tidak senang dengan sistem baru ini kerana didapati menyukarkan kerja mereka walaupun setelah 3 tahun diimplementasikan.

Antara masalah yang dikenal pasti dalam perlaksanaan PBS ini ialah: Tidak mesra-pengguna.

Guru dikehendaki memasukkan bebanan data dalam sistem PBS. Tiada skop dan tujuan jelas akan kegunaan PBS.

Kekaburan pengumpulan data (online database) atau masalah pelaksanaan dasar (policy implementation).

Ibu bapa juga mengatakan sistem sedia ada ini tidak memberi pengukuran adil kepada mereka yang “introvert” justeru tidak meningkatkan sistem sedia ada.

Masalah ketelusan dalam penilaian pelajar.

Masalah ini menyebabkan suara guru-masyarakat-Malaysia menganjurkan demonstrasi pada 22 Februari lalu setelah melalui semua saluran yang ada bagi menyuarakan suara guru yang tertindas.

Adalah amat menghairankan apabila PBS yang dikatakan oleh Muhyiddin Yassin mengambil pandangan umum kini ditentang masyarakat yang terdiri daripada guru, ibu bapa dan pelajar.
Malah, sistem ini sekaligus tidak mampu meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran mahupun memperbaiki pendidikan negara.

Baru-baru ini pula, sesi penerangan PBS yang akan ditambah baik akan diadakan bermula April, menurut Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh.

Guru tidak perlu lagi memasukkan data maklumat pencapaian murid secara dalam talian seperti sebelum ini, tidak perlu menyertakan eviden dan hanya menyimpan data secara ‘offline’.

Pelaksanaan PBS sebelum ini ternyata membebankan guru dan hasilnya kini ternyata sia-sia. Ini disokong oleh Syed Hussein Alatas yang menyatakan, “andai kata telah ada kelompok intelektual yang mengajukan masalah maka pendapat umum akan tertampung dan menetapkan langkah yang harus diambil oleh pemerintah.” Bagaimanapun, parti politik lebih menumpukan perhatian pada hal yang remeh dan bermain dengan emosi massa.

Peringkat sekolah rendah dan menengah merupakan tempoh yang penting bagi pelajar dalam menentukan mereka sebagai birokrat yang mendukung status quo atau pembela massa yang berfikiran terkedepan.

Selain masalah PBS yang timbul baru-baru ini, kita masih berdepan masalah yang berulang di sekolah harian, masalah saiz bilik darjah yang besar dengan kekurangan tenaga pengajar, kelas yang tercorot, cara fikir binari antara kelas aliran sains dan sastera.

Ini masih jelas dan sewajarnya diberi perhatian dalam menyediakan pelajar bukan menyibukkan guru dengan beban yang sia-sia.

Beban kerja ini mengakibatkan guru mengajar silibus yang diulang-ulang setiap tahun, tiada masa untuk menjadi pendidik atau pencetus (inspire) murid, seperti dimaksudkan Paulo Freire.

Selepas universiti diikat dengan akta yang membataskan pelajar dan pensyarahnya, kini guru juga akan mula dikongkong dengan bebanan kerja, kedua-dua ini tidak lain merantai kelompok ini untuk berfikir lebih, menjadi pak turut dalam sistem yang dipaksakan – dengan alasan untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara!-Roketkini.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.