MALAYSIAKINI
Satu kemalangan yang membabitkan sebuah lori
yang membawa produk nadir bumi Lynas, mengakibatkan ia bertabur atas
jalan persekutuan Kuala Lumpur-Kuantan di Lanchang, Pahang, pagi ini dan
ditutup kepada lalulintas.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Abdul Aziz Salleh berkata pihak berkuasa menerima laporan mengenainya pada jam 9 pagi ini dan ia berlaku di kilometer 149 jalan tersebut berhampiran Lanchang.
Bercakap kepada Malaysiakini
hari ini, beliau berkata lori itu membawa 15 bekas berisi cecair kimia,
iaitu PrND Chloride, dan 13 daripadanya bertaburan di atas jalan raya.
Beliau berkata, empat daripadanya pecah dan menyebabkan cecair kimia tumpah ke atas tanah.
Apabila
ditanya sama ada cecair kimia itu dianggap berbahaya, Abdul Aziz
berkata ia adalah "tidak begitu berbahaya" tetapi akan berasa gatal jika
menyentuhnya.
Katanya lagi, cecair itu tidak boleh masuk ke
dalam air dan jika ia masuk ke dalam sungai, ikan di dalamnya mungkin
mati, tetapi menurutnya tidak ada sungai di situ.
Beliau berkata
tempat itu dineutralkan oleh sepasukan pakar dari Lynas dan juga Pasukan
Khas Penyelamat dan Bantuan Bencana Malaysia (SMART).
Abdul Aziz
berkata, kemalangan itu mungkin disebabkan oleh kecuaian pemandu yang
tidak mengikat dengan baik barang-barang tersebut.
Katanya, pihak
polis akan menyiasat kes itu mengikut peraturan 19 Peraturan Lalulintas
1959 (barang muatan jatuh dari kenderaan).
Bagaimanapun, pengurus besar perhubungan awam komunikasi Lynas
Malaysia, Amin Abdullah menegaskan bahawa produk nadir bumi itu selamat dan tiada radioaktif.
"Kami tidak tahu sama ada pemandu itu memandu laju atau sebab-sebab lain," katanya sambil menambah kemalangan yang berlaku pagi ini tidak mengakibat kecederaan atau maut.
Ketika dihubungi Malaysiakini petang
ini, Amin berkata, produk tersebut tidak berbahaya dan ianya disahkan
selamat untuk diangkut ke luar negara dan semua sijil ada.
Ketika
diminta mengulas kenyataan polis bahawa cecair itu boleh membunuh ikan,
Amin enggan mengulas kerana beliau mendakwa tidak mempunyai maklumat
tersebut.
"Jika anda berkata produk ini akan menyebabkan
kegatalan pada kulit manusia, maka seseorang yang sensitif juga akan
berasa gatal selepas mereka makan udang," katanya.
Menurut Amin,
lori itu membawa produk tersebut dari loji Lynas di zon perindustrian
Gebeng, dekat Kuantan, ke Pelabuhan Klang untuk dieksport kepada
pelanggan luar negeri.
Beliau juga menerangkan bahawa ia bukan merupakan hasil akhir kerana pelanggan mereka perlu memprosesnya semula.
Tambahnya,
lori itu bukan milik Lynas tetapi dari sebuah syarikat pengangkutan dan
pasukan keselamatan, kesihatan dan alam sekitar telah dihantar ke
tempat kejadian untuk membersihkan cecair tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.