SHAH ALAM - Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menerima suapan wang tunai RM10,000, Mac lalu.
Raja Mohamad Izzudin Raja Kamarulzaman,30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.
Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Daerah (IPD) Subang Jaya itu didakwa memperoleh wang tersebut daripada seorang lelaki warga Bangladesh, Md Harun UR Rashid, 42, sebagai dorongan untuk melepaskan rakan senegaranya, Nazrul Islam,38, daripada tindakan pengusiran Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Lelaki yang berkhidmat selama lapan tahun itu didakwa melakukan perbuatan itu di Tingkat 2, IPD Serdang, Jalan Bandar Kinrara 5, Puchong, Selangor jam 8.45 malam pada 14 Mac 2014.
Timbalan Pendakwa Raya, Lokman Kassim mencadangkan jaminan kepada mahkamah RM10,000 dengan seorang penjamin.
Ridha Abdah Subri, yang bertindak sebagai peguam bela memohon agar mahkamah membenarkan jaminan dengan jumlah minima atas faktor anak guamnya menyara kedua ibu bapanya yang uzur serta tiga adik beradiknya yang masih bersekolah.
"Anak guam saya juga memberi kerjasama yang baik dengan pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak ditangkap sehinggalah siasatan selesai ke atasnya," katanya.
Hakim, Slamat Yahya bagaimana pun membenarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah juga menetapkan 10 April depan untuk sebutan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.