CABARAN Pengerusi Hindraf, P. Waythamoorthy semalam agar Umno/BN menjadikan PRK Dun Kajang sebagai referandum untuk membantu masyarakat India adalah sesuatu yang ganjil.
Ini adalah kerana masyarakat India telah lama menyedari Umno/BN tidak mampu untuk menaiktaraf kehidupan mereka dan hanya menggunakannya sebagai satu slogan retorik setiap kali pilihan raya.
Malah, Waythamoorthy sendiri telah meletakkan jawatan dari Kabinet kurang sebulan lalu, kerana kerajaan Umno/BN gagal berperanan sebagai kerajaan yang mengangkat martabat masyarakat India.
Yang mengejutkan saya ialah mengapa Saudara Waythamoorthy bersikap tidak masuk akal dengan melontarkan cabaran sebegitu.
Oleh yang demikian, tidak ada gunanya membiarkan Umno/BN menabur janji palsu sekali lagi terhadap pengundi di Kajang terutamanya masyarakat India kerana rekod buruk Umno/BN yang terbukti gagal menangani isu-isu berbangkit masyarakat India selama ini.
Jelas, Waythamoorthy hanya melontarkan cabaran kosong yang langsung tidak membawa sebarang makna kepada nasib masyarakat India.
Untuk apa mencabar kerajaan yang sememangnya tidak mampu dan tidak mahu, membawa perubahan untuk masyarakat India. Waythamoorthy hanya bermain wayang dan membuang masa.
PR selama ini tetap komited untuk membela masyarakat India daripada menjadi mangsa politik Umno/BN.
Taktik kotor Umno/BN yang sengaja membelenggu dan memerangkap masyarakat India dalam kemiskinan dan kemunduran agar meneruskan kebergantungan kepada kerajaan mereka harus difahami dan ditangani.
PR berdiri teguh selama ini bersama masyarakat India dalam pelbagai isu dan keyakinan yang diberikan oleh pengundi India dalam dua siri PRU yang lalu memberi isyarat kepada Umno/BN bahawa mereka tidak lagi percaya dengan polemik dan politik murahan, yang hanya menabur janji ketika berlakunya pilihan raya.
Fokus untuk pembangunan modal insan dan juga sosio-ekonomi di kalangan masyarakat India adalah satu tanggungjawab yang dipikul secara bersama antara parti-parti dalam PR.
Nasib masyarakat India terutamanya di negeri Selangor terbela dengan Skim Merakyatkan Ekonomi Selangor seperti bantuan untuk anak pekerja ladang yang bukan sahaja bersifat membantu, tetapi membina.
Justeru, jelas samada Waythamoorthy melontarkan cabaran kepada Umno/BN atau tidak dan samada cabaran itu disambut oleh Umno/BN atau tidak, PR tetap memberikan komitmen yang optima bagi membangunkan masyarakat India untuk bersama-sama dalam keluarga besar bangsa Malaysia.
Sebagai bangsa Malaysia kita mengorak jalan ke hadapan bersama-sama.
Bersama PR, tidak ada lagi dasar pecah dan perintah akan berlaku sepertimana yang diamalkan oleh Umno/BN. Masyarakat India akan menjadi sama penting dengan mana-mana kaum di Malaysia iaitu sebagai tulang belakang tanahair ini.
Komitmen masyarakat India sejak kemerdekaan akan berterusan dan kini ianya akan menjadi satu garisan hadapan yang akan menghapuskan dasar-dasar kolot Umno/BN.
Cukuplah Waythamoorthy, masyarakat India telah lama tolak Umno/BN.
(*) YB Manivannan Gowin Ahli Parlimen Kapar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.