JITRA - “Meskipun jauh dari keluarga yang berada di Seremban, Negeri Sembilan, namun saya akur dan rela kerana sekurang-kurangnya lebih terjaga,” luah penghuni Rumah Amal Islam Hidup Matiku, Ainul Basyirah Abdul Rahim, 17.
Ainul Basyirah yang merupakan anak keempat daripada 14 beradik berkata, pendapatan ayahnya yang berniaga air minuman tidak seberapa dan tidak mencukupi untuk menampung mereka sekeluarga.
"Lagipun ibu tidak bekerja. Adik-beradik pula ramai. Jadi saya harap dapat meringankan beban ditanggung ibu bapa apabila memasuki rumah kebajikan di Taman Melur ini.
"Jika kebanyakan tempat lain mahukan bayaran, namun tempat ini nyata berbeza. Kehidupan lebih terbela di sini di bawah jagaan penjaga,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, dia juga berpeluang belajar berdikari, mendalami ilmu agama dan mengembangkan kebolehannya dalam bidang seperti bakeri melalui kelas kemahiran diikutinya.
"Saya tinggal bersama 13 penghuni termasuklah empat kanak-kanak berusia dua hingga lima tahun sejak memasuki rumah kebajikan ini pada Ogos lepas," katanya.
Perlu tempat sempurna
Sementara itu, pengelola Rumah Amal Islam Hidup Matiku, Rohani Hassan, 55, berkata, rumah kebajikan terbabit tidak hanya menempatkan anak yatim sebaliknya juga kepada fakir dan golongan remaja insaf.
Menurutnya, namun pihaknya memerlukan dana sekurang-kurangnya RM5,000 bagi membolehkan penghuni mendiami sebuah tempat perlindungan yang selamat, selesa dan sempurna.
“Buat masa ini kami ada 14 penghuni yang mana 10 daripadanya merupakan remaja perempuan berusia 15 hingga 17 tahun, manakala empat lagi kanak-kanak berusia dua hingga empat tahun,” katanya.
Sewa RM450 sebulan
Katanya, tempat perlindungan sedia ada dalam keadaan serba kekurangan tanpa meja dan kerusi belajar, malah kabinet buku, bantal dan tilam juga tidak mencukupi buat mereka.
"Kebanyakan penghuni juga terpaksa melelapkan mata dengan tidur di atas tilam semata-mata tanpa katil disebabkan beberapa faktor tertentu termasuklah ruang terhad dan sempit.
“Justeru, kami berpindah ke rumah baru untuk memastikan kehidupan lebih sempurna. Namun banyak kos kewangan perlu dikeluarkan untuk tujuan itu. Kos sewa mencecah RM450 sebulan, sedangkan kami tidak berkemampuan,” katanya.
Menurutnya, mereka memerlukan dana tidak hanya untuk membina ampaian, sebaliknya juga kerja penyelenggaraan seperti mengecat rumah.
"Kami kini meneruskan kehidupan hasil ihsan dan simpati masyarakat tempatan sahaja yang sudi menyalurkan derma untuk meringankan kesulitan dilalui penghuni rumah kebajikan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.