Khamis, 27 Mac 2014

Atlet muslimah melakar impian di dunia antarabangsa

Saiful Islam 


SUKAN adalah antara medium terpenting dalam kehidupan. Minda yang cerdas berteraskan badan yang cergas.  Islam sendiri menuntut dan tidak menghalang aktiviti ini jika diamalkan selagi berteraskan syariat.

Nabi Muhammad s.a.w. sebagai contoh menggalakkan umatnya untuk bersukan. Antara sukan yang disarankan baginda adalah memanah, bergusti dan berkuda.

Pada masa kini apabila dikaitkan negara Islam dan sukan, mungkin tidak sehebat negara-negara Eropah yang memonopoli aktiviti ini baik di peringkat benua hingga antarabangsa. Tidak kita nafikan bersukan juga merupakan jalan untuk memperkenalkan Islam ke seantero dunia, malah sebagai kaedah berdakwah.

Keutuhan dan kesungguhan atlet beragama Islam bertanding membuktikan mereka setaraf dengan atlet antarabangsa yang lain diserikan lagi dengan kelengkapan beronakan Islam dengan menutup aurat, memberi contoh dan pandangan terbaik terhadap Islam dan keanjalan syariatnya.

Begitulah penakrifan tentang indahnya bersukan dalam syariat Islam, biarpun banyak isu yang dibangkitkan tentang pakaian yang menutup aurat ini tetapi atlet muslim dan muslimah tetap kukuh dengan pendirian mereka.

Sukan Olimpik dan Sukan Asia merupakan pentas antarabangsa yang dihiasi beribu atlet dari pelbagai negara yang bertanding termasuk negara-negara Islam. Sukan Asia Doha 2006, pentas di mana Roqaya Al Ghasara membuka perhatian seluruh dunia, tatkala siaran lansung acara lari 200 meter melihatkan seorang atlet muslimah memenanginya dengan penuh bergaya menewaskan atlet lain.

Perhatian terhadap pelari Muslimah ini kerana pakaiannya yang berjilbab dan menutup aurat. Pelari muslimah dari Bahrain ini turut memenangi pingat gangsa acara pecut 100 meter, kebanggaan buat seluruh umat Islam di seluruh dunia.

Beliau bukan sahaja menyangkal pendapat memakai pakaian menutup aurat akan menggugat kepantasan dan keselesaan atlet malah memberi gaya yang lebih sesuai dengan pakaian sukan (sports wear) yang menutup aurat untuk dijadikan contoh atlet beragama Islam yang lain.

Roqaya Al Ghasara role model atlet Islam sedunia, hebat di trek sehebat pendiriannya.

Atlet negara kita juga mempamerkan contoh yang tersendiri. Nor Suryani Mohd Taibi dan rakan sepasukannya Nur Ayuni berjaya memenangi pingat emas di Sukan Komanwel pada 2010. Kedua atlet negara ini mengenakan pakaian yang mengikut syariat Islam dan berjilbab. Secara tidak langsung ia memberi inspirasi kepada atlet muslim negara lain.

Pemakaian atlet yang mengikut syariat Islam banyak memberi pengaruh dan pandangan positif terhadap Islam. Keanjalan syariat Islam dan kepatuhan penganutnya memberi motivasi kepada atlet muslim untuk mempromosi nilai murni Islam itu sendiri ke seluruh masyarakat dunia untuk mengenali keindahan Islam.

Faktor kemenangan atau kekalahan bukan bergantung kepada pemakaian, tetapi kesungguhan yang dironakan lagi dengan berpandukan syariat Islam. Insyaallah akan mendapat keberkatan dan keredhaan Allah SWT.

Nur Ayuni atlet air rifle negara membuka perhatian atlet negara tentang kepentingan menutup aurat.

Iran adalah salah satu negara Islam yang bertanding di sukan peringkat antarabangsa.
Atlet muslimahnya mengenakan jilbab ketika bertanding. Ia memberi gambaran jelas bahawa penutupan aurat oleh para atlet diuruskan dengan sempurna olen badan atau pertubuhan sukan negara mereka.

Tidak mustahil suatu hari nanti Malaysia akan mengikuti jejak langkah tersebut.
Presiden Iran sendiri mengkritik dasar atau peraturan etika pemakaian yang digariskan oleh persatuan bola sepak dunia atau FIFA yang menghalang penyertaan pasukan bolasepak wanita Iran atas alasan berjilbab dan melanggar etika pemakaian.

FIFA juga merupakan badan sukan dunia yang menunjukkan bantahan terhadap pemakaian atlet di sukan Olimpik.

Atlet Iran yang berjaya melakar nama di pentas dunia ialah Khadijeh Azadpour. Atlet muslimah ini memenangi pingat emas di kejohanan Sukan Asia di 2010.

Beliau yang mengungguli sukan wushu ketika mengulas kemenangannya mendedahkan cita-cita beliau untuk menjadi wanita Iran pertama memenangi pingat emas dunia dalam acara olahraga tersebut. Beliau merupakan salah seorang daripada atlet muslimah yang wajar menjadi contoh dan ikutan kepada atlet muslim seluruh dunia.

Khadijeh Azadpour, atlet Iran yang menjuarai acara wushu di Sukan Asia 2010.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.