Lyn Nasir
KUALA LUMPUR : Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Sarawak, Ahmad Nazib Johari berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih belum memberi sebarang penjelasan mengenai aduan rasuah Ketua Menteri Sarawak, Tan Seri Taib Mahmud sejak 2009 .
“Saya sendiri membuat aduan kepada SPRM tahun 2009 berkenaan dokumen penglibatan Ketua Menteri Sarawak dan kroni dalam salah guna kuasa projek dan akaun-akaun melibatkan kroni.
“Saya juga buat susulan dengan SPRM Putrajaya.
“Mereka kata siasatan masih dijalankan dengan alasan bahawa (SPRM) terpaksa memanggil lebih 40 saksi dan (meneliti) dokumen berkaitan di dalam dan luar negara,” kata Nazib pada sidang media di ibu pejabat KEADILAN, hari ini.
Hadir sama sidang media, Exco AMK Sarawak, Iswardy Murni.
Beliau yang mewakili KEADILAN Sarawak mendesak SPRM memberi penjelasan berhubung perkara tersebut.
Kata Nazib, SPRM beralasan kononnya terpaksa memanggil 40 saksi berkaitan serta perlu meneliti memorandum dihantar 19 Februari lalu kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed.
SPRM dalam kenyataan pada Jun 2013 berkata, siasatan sudah bermula dan sekitar 400 fail berkaitan telah disemak bagi membantu siasatan.
Namun, sehingga kini, tidak ada status berhubung siasatan kes rasuah tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, minggu lalu, KEADILAN Sarawak mengemukakan memorandum kepada Majlis Raja-Raja memohon Yang di-Pertuan Agong menangguhkan perlantikan Taib sebagai Tuan Yang Terutama Sarawak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.