HARAKAHDAILY
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan menganjurkan solat minta hujan (Solat Istisqa) esok bermula jam 9.00 pagi di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, dekat sini.
Solat memohon hujan itu dianjurkan Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor dengan kerjasama Majlis Permuafakatan Pendidikan Islam Selangor (MAPPIS).
Program bermula dengan penerangan tentang kaifiat (syarat dan tertib), khutbah ringkas, solat berjemaah dan doa.
Orang ramai dijemput hadir beramai-ramai dengan membawa sejadah dan keperluan lain untuk bersama-sama memohon agar cuaca kering dan kemarau yang melanda negara berakhir, lapor Selangorkini.
Dalam perkembangan berkaitan, pendakwah Dr Zaharuddin Abdul Rahman menyarankan umat Islam di Selangor agar melakukan Solat Istisqa khusus bagi memohon hujan berikutan musim kemarau yang berlarutan mengalibatkan beberapa empangan di negeri ini berada pada tahap membimbangkan.
Menurut beliau, solat minta hujan itu seeloknya dilakukan di kawasan yang terjejas.
“Menjadi sunat muakkad bagi orang Islam di sesuatu tempat yang telah lama tak turun hujan melakukan Solat Istisqa. Seeloknya penduduk di kawasan itu keluar beramai-ramai dan melakukan Solat Istisqa di tempat terbuka.
“Solat istisqa kebiasaannya didahului dengan khutbah ringkas. Kemudian diteruskan solat dua rakaat dengan bacaan secara kuat serta diakhiri dengan doa yang bersungguh-sungguh,” katanya dipetik Sinar Harian.
Beliau berkata, Solat Istisqa lebih afdal diadakan pada waktu dhuha iaitu selepas jam 8 pagi.
“Dalam sejarah, Rasulullah s.a.w. sendiri pernah mengimamkan Solat Istisqa bagi memohon hujan. Jadi, solat ini merupakan salah satu usaha yang boleh dilakukan umat Islam bagi mengatasi kesukaran mendapatkan sumber air,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, masyarakat perlu menginsafi hikmah di sebalik fenomena ketiadaan hujan yang berpanjangan.
“Apabila hujan tidak turun, Allah SWT mengajar agar kita memperbanyakkan istighfar kepada-Nya. Perkara ini turut dijelaskan dalam al-Quran surah Nuh ayat 10-12.
“Selain daripada faktor fenomena alam, ketiadaan hujan juga berkait rapat dengan amalan kita. Mungkin Allah mahu menyekat sebentar hujan agar kita menginsafi kesalahan kita,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.