Ahad, 2 Februari 2014

PRK Kajang: Strategi Sun Tzu & Muhammad Al-Fateh ‘peningkan’ Najib

Oleh Mohd Ezli Mashut


KEPUTUSAN Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan dirinya sebagai calon DUN Kajang memeningkan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak yang ketika ini terpaksa berhadapan tekanan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohammad dan konco-konconya.

PKR1Dalam hal ini, PKR dan Pakatan Rakyat lebih bersedia untuk ‘pertempuran’ di Kajang berbanding BN yang masih bercelaru sama ada mahu menyertainya ataupun tidak.

Hinggakan, timbul cadangan jenaka kononnya BN akan meletakkan jaguh badminton nombor satu dunia, Lee Chong Wei untuk berhadapan dengan Anwar. Ini jelas
membuktikan BN tidak bersedia.

Diburukkan lagi situasi keadaan semasa dengan isu kenaikan harga kos sara hidup, ramalan keupayaan untuk BN menang dalam PRK Kajang menjadi hampir mustahil.

Biarpun ada pihak mendakwa wang rakyat tidak perlu dibazir untuk pilihan raya kecil, realitinya SPR berbelanja RM11 juta bagi melaksanakan 16 PRK selepas PRU 12.

Malah, SPR berbelanja antara RM318,000 hingga RM1.3 juta untuk sebuah pilihan raya kecil yang masih lagi ‘murah’ berbanding sebuah cincin permata dan penggunaan jet!

borosNajib sendiri terkenal dengan sifat membazir. Lihat sahaja bil elektrik
kediaman rasmi Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana yang mencecah RM2,237,788.13 pada 2012 dan RM311,174.25 untuk bayaran air sepanjang tahun itu.

Jika benar BN ikhlas
memperkatakan soal pembaziran, mengapa tiada teguran keras dalam hal itu? Dan, untuk mengelakkan ‘pembaziran’ yang dikompangkan BN, mereka patut tidak terlibat dan sanggup memberi kemenangan kepada Anwar.

‘Tragedi bertukar kepada strategi’

Pengosongan DUN Kajang yang mulanya dikritik ramai kerana dianggap semata-mata menyelesaikan isu dalaman PKR, mula mendatangkan impak negatif kepada BN apabila ‘tragedi bertukar kepada strategi’ buat Pakatan Rakyat lantaran BN terkapai-kapai.

tanduk-emas

Ia mengingatkan nostalgia strategi Muhammad Al-Fateh, pembuka Kota Konstantinapol pada 29 Mei 1453 Masihi yang menggerakkan kapal laut di Selat Bosporus ‘belayar’ di bukit.

Strategi rahsia dan mendadak itu langsung tidak dijangka musuh,
sekaligus membuka lorong kemenangan kepada pemimpin Islam tersohor itu.

artPakar strategi, Sun Tzu dalam ‘Art Of War’ juga ada menyatakan ‘kenali musuh dan diri sendiri, kamu akan bertempur seratus pertempuran tanpa tewas’.

Kata Sun Tzu lagi, mereka yang tahu bila mahu berlawan, bila tidak
berlawan akan menang. Dan, mereka yang bersedia sepenuhnya ketika musuh belum bersedia, akan menang.

Kini, dengan Anwar di ambang kemenangan, Ketua Pembangkang itu bakal bersebelahan dengan Najib di Putrajaya dan Ketua Umum PKR itu pasti merencana kejutan pada PRU 14 kelak.

Sememangnya keberadaan Anwar di DUN Kajang penting untuk memberi sumbangan bermakna kepada Kerajaaan Selangor sebagai model pentadbiran Malaysia apabila Pakatan Rakyat menawan Putrajaya.

Walaupun keputusan itu awalnya dikritik hebat pelbagai pihak termasuk penganalisis, pemerhati dan penyokong parti tetapi realitinya, ia bakal menjadikan Selangor sebagai ‘tapak pelancar’ untuk menawan Putrajaya.

Anwar KhalidKekuatan gandingan pasukan Anwar yang memiliki kelicikan politik dan pasukan Tan Sri Khalid Ibrahim yang mempunyai kecekapan mengurus tadbir, memberi kekuatan tambahan dalam menjadikan Selangor model pentadbiran Pakatan Rakyat pada masa hadapan.

Sepertinya dikatakan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, pemimpin yang baik tidak selalunya popular.

Kesanggupan Anwar mengambil amanah itu – walaupun pahit, terus
meyakinkan akan nilai pengorbanan beliau sebagai seorang pemimpin.

winstonUmpama tindakan Winston Churchill (Perdana Menteri Britain) yang mengharungi kemarahan rakyat apabila menggesa bermusuh dengan Nazi ketika sentimen popular berbaik dengan Nazi.

Sebaliknya, di kemuncak kuasa Nazi – Churchill berdiri keseorangan menentang Nazi ketika keseluruhan Eropah tunduk kepada Nazi.
Terbukti, keyakinan mempertahankan tindakan yang betul walaupun tidak popular, rela berdepan kemarahan umum, adalah ciri-ciri utama seorang pemimpin unggul.

* Mohd Ezli Mashut adalah Penolong Editor Selangor Kini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.