Jumaat, 21 Februari 2014

Polis rakam kenyataan wartawan Malaysiakini

 
MALAYSIAKINI
 
 
Dua pegawai polis dari Jabatan Siasatan Jenayah ibu pejabat polis Dang Wangi hadir ke pejabat Malaysiakini semalam untuk merakam keterangan dua wartawan Malaysiakini berhubung laporan tawaran wang tunai untuk menampar MP Seputeh, Teresa Kok.

Diketuai pegawai penyiasat kanan ASP Ananthan Rajoo, mereka menemubual wartawan meja bahasa Melayu, Ahmad Fadli KC dan wartawan video KiniTV, Terry Wee selama kira-kira 1 jam 20 minit petang semalam.

ASP Ananthan memaklumkan kepada Terry dan KC yang keterangan mereka dirakam di bawah Seksyen 112 Kanun Acara Jenayah sebagai saksi dalam satu siasatan ke atas laporan polis yang dibuat Teresa Kok.

Kedua-dua mereka membuat liputan perhimpunan sekumpulan individu yang menggelarkan diri mereka sebagai 'Majlis Jemaah NGO Islam Malaysia' pada 6 Februari lalu.

Kumpulan tersebut dilaporkan membuat tawaran wang sebanyak RM500, yang kemudian dinaikkan menjadi RM1200, untuk individu pertama yang menampar Teresa dan merakam kejadian itu.

Dua hari kemudiannya pada 8 Februari, Teresa membuat laporan polis di Dang Wangi berkaitan tawaran itu, yang didakwa bersifat gangguan jenayah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.